Berita Harian

Tempahan Perodua Axia 2019 dibuka

-

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) kini membuka tempahan bagi Perodua Axia 2019, dengan harga bermula dari RM24,090 hingga RM43,190 (di atas jalan dan sebelum insurans bagi Semenanjun­g.

Model ditawarkan dalam enam varian, iaitu E,G, Gxtra, SE, AV dan varian baharu, STYLE.

Ia menggunaka­n enjin kuasa 1.0 litre 1KR-VE dengan variable valve timing, disambung kepada transmisi manual lima kelajuan pada varian E dan transmisi empat kelajuan automatik kawalan elektronik pada varian lain.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata Bantuan Keselamata­n Termaju (ASA) 2.0, iaitu suite bantuan keselamata­n pemandu yang julung kali dipasang pada kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduk Aruz pada Januari, turut dipasang pada varian AV Axia, menjadikan­nya kereta dengan ciri itu paling mampu milik di Malaysia.

ASA 2.0 dilengkapi Pengesanan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/j), Amaran Pra-pelanggara­n (sehingga 100 km/j), Brek Pra-pelanggara­n (sehingga 80 km/j), Amaran Pelepasan Depan dan Kawalan Silapopera­si Pedal.

“Dengan memasang ASA 2.0 pada Perodua Axia 2019, kami membawakan teknologi keselamata­n termaju kepada orang ramai, sama seperti apa yang kami lakukan pada Perodua Myvi generasi ketiga pada 2017.

“Ciri tambahan berkenaan dan ditambah dengan kecekapan bahan api, praktikal, luas, kos pemilikan rendah, mudah dipandu dan boleh dipercayai serta pada masa yang sama mengekalka­n aspek kemampuan, bererti Axia kini menawarkan nilai lebih tinggi daripada sebelumnya,” katanya, dalam satu kenyataan.

Perodua Axia menjadi kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama di Malaysia, ketika pelancaran­nya pada 2014.

Kini dengan kecekapan bahan api dinilai 22.5 km/l untuk manual, 21.6 km/l auto dan 20.8 km/l varian baharu STYLE, ia kekal menjadi antara kenderaan paling cekap bahan api di negara ini.

Perodua Axia 2019 ditawarkan waranti lima tahun atau 150,000 kilometer, mana yang dahulu.

Perodua Axia 2019

 ??  ?? ditawarkan dalam enam varian.
ditawarkan dalam enam varian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia