Berita Harian

Formula elak karakter stereotaip

Tidak tonton lakonan sendiri, Azizah Mahzan kaji permainan sesuatu watak menerusi naskhah luar

- Oleh Hanisah Selamat hanisah@bh.com.my Menceburi

bidang lakonan sejak era 1980-an, pelakon versatil, Azizah Mahzan mempunyai formula tersendiri untuk mengelakka­n diri daripada belenggu lakonan stereotaip.

Azizah, 56, memegang prinsip untuk tidak sesekali menonton semula lakonannya, sebaliknya memilih produksi asing bagi memperting­katkan kualiti persembaha­n.

Rutin itu, katanya sudah dilakukan sejak dahulu kerana mahu tampil berbeza dalam setiap naskhah, walaupun ada ketika, diminta menggalas karakter serupa.

“Bukan segan atau sombong, sebaliknya saya tidak mahu terpengaru­h dengan karakter yang pernah dibawa sebelum ini.

“Saya lebih suka mengkaji cara permainan sesuatu watak dan perwatakan daripada filem asing. Biarpun ada ketika ditawarkan watak antagonis, saya gunakan pendekatan berbeza supaya penonton dapat merasai kelainan dalam lakonan saya.

“Pendekatan itu membolehka­n saya menjiwai setiap watak dengan lebih mendalam. Tidak kira berapa lama kita dalam industri, jangan pernah berhenti belajar atau cepat berpuas hati,” katanya.

Azizah berkata, setiap kali selesai melunaskan sesuatu karakter, pasti terdetik di hatinya, dia mampu melakukan jauh lebih baik.

“Saya sentiasa menonton genre filem berbeza. Sebagai pelakon, saya perlu mencari pendekatan yang sesuai supaya watak yang dibawa tidak kelihatan sama, baik dalam drama atau filem,” katanya selepas prebiu telefilem, Back to You.

Menerusi telefilem berbahasa Cina itu, Azizah membawakan watak Kamariah iaitu ibu angkat yang terasa hati apabila anak perempuan yang dijaga sejak usia beberapa hari bertemu semula emak kandung selepas lama terpisah.

Selain Azizah, telefilem yang menyentuh isu masyarakat majmuk di negara ini turut dibintangi Ernest Chong, Remon Lim, Charlie Numan Salleh, Yuna Rahim dan Jasmine Suraya Chin.

Ia bakal disiarkan menerusi 8tv pada 31 Ogos ini. Tanpa berselindu­ng, Azizah berkata, dia menitiskan air mata setiap kali membaca skrip telefilem yang memaparkan pergolakan perasaan seorang ibu.

Pernah katanya, dia terpaksa menyimpan semula naskhah itu untuk menenangka­n diri. Emosinya cukup terkesan, namun bertuah dapat bekerja dalam produksi itu.

“Setiap kali membaca skrip

Back To You, saya akan menangis. Naskhah ini sangat bagus, malah saya sebak memikirkan emosi ibu yang terpaksa berpisah dengan anak perempuann­ya sebaik sahaja dia melahirkan.

“Bukan hanya saya yang merasai emosi itu, sebaliknya pelakon gandingan lain juga mempunyai perasaan sama.

“Peluang bekerja dalam produksi ini juga seperti membawa saya kembali kepada proses pembikinan drama dahulu. Kami dibekalkan dengan skrip lengkap, sekali gus membolehka­n kami lebih memahami watak dan perwatakan.

“Kami juga melalui sesi pembacaan skrip dan perbincang­an karakter sebelum masuk ke set,” katanya.

Dalam kesibukan memenuhi jadual penggambar­an, Azizah turut mendapat kepercayaa­n untuk membimbing pelapis industri seni dan penyiaran.

Bukan sekadar stesen televisyen dan radio, Azizah pernah mengendali­kan kelas seni untuk kanakkanak serta terbabit dalam sesi perkongsia­n pengalaman bersama pelajar sekolah dan penuntut kolej.

Ditanya kesediaan mengelolak­an kelas lakonan persendiri­an, katanya, buat masa ini, jadualnya masih padat. Ia termasuk memenuhi undangan sebagai tenaga pengajar untuk pengacara dan pembaca berita secara berkumpula­n.

“Bukan tidak mahu, tetapi saya risau, mereka yang ingin belajar secara persendiri­an itu takut kerana saya garang,” katanya.

Sedang melunaskan baki penggambar­an drama bersiri, Lelakimu Yang Dulu untuk slot Akasia di TV3, Azizah berkata, dia sentiasa merindui lakonan teater.

“Ia lebih mencabar kerana kita dituntut memberi tumpuan penuh sepanjang dua jam pementasan. Kali terakhir saya beraksi di pentas teater, dua tahun lalu menerusi

Mek Mulung.

“Memang saya rindu, tetapi kena tunggu dahulu,” katanya yang pernah terbabit dalam Bangsawan Dendam Laksamana.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia