Berita Harian

Tiada niat gugat sesiapa

Syafiq Kyle sahut cabaran berlakon teater biarpun kemampuan dipertikai

- Oleh Farihad Shalla Mahmud farihad@bh.com.my

Mengutip pengalaman dengan membintang­i pelbagai drama dan filem sejak lapan tahun lalu, memutikkan keyakinan kepada pelakon yang popular menerusi drama rantaian, Nur, Syafiq Kyle untuk melangkah ke pentas teater.

Tawaran diberikan pengarah sensasi, Erma Fatima untuk membawa watak utama dalam pementasan, Pawana Isabella disambut Syafiq dengan penuh keterujaan dan debaran.

Meletakkan dirinya masih hijau, terutama dalam lakonan teater, Syafiq menyifatka­n, keputusann­ya itu sebagai percubaan berani kerana bukan calang-calang pelakon mampu beraksi dalam cabang seni itu. Silap percaturan, pasti memakan diri.

Namun, dalam keterujaan mencuba cabang seni baharu, pemilihan Syafiq mencetuska­n perdebatan ramai, termasuk dalam kalangan penggiat seni teater.

Pemilik nama lengkap Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak itu dikatakan sekadar mempertaru­hkan nama dan populariti kerana kekuatanny­a sebagai pelakon teater belum pernah diuji.

Malah, segelintir pihak berpendapa­t, kehadiran pelakon komersial seperti Syafiq seolah-olah ‘merampas’ tempat mereka mencari rezeki.

Tidak terkejut, apatah lagi melenting dengan pandangan skeptikal itu, Syafiq menganggap, ia sebagai cabaran untuk membuktika­n kemampuan.

“Saya faham perasaan mereka, apatah lagi, selama ini, saya lebih dikenali sebagai pelakon televisyen. Jika saya berada pada tempat mereka, saya pasti memberikan reaksi serupa.

“Semua itu saya anggap sebagai cabaran. Saya lebih suka melihatnya dari sudut positif. Tuhan meletakkan saya di sini untuk terus mengasah bakat dan memperbaik­i mutu lakonan kerana pentas teater sesuai untuk menimba ilmu.

“Saya tidak cuba merampas tempat sesiapa. Jika ada yang beranggapa­n seperti itu, bermakna mereka gagal menawan ego sendiri.

“Sebagai pelakon, kita perlu mengalu-alukan mereka yang ingin mengasah bakat. Kami juga menerima kehadiran pelakon teater di skrin televisyen dengan tangan terbuka. Dalam situasi ini, kita perlu percaya kepada rezeki,” katanya.

Tambah Syafiq, kehadirann­ya bukan untuk memintas jalan sesiapa kerana niatnya hanya mencuba sesuatu yang baharu, sekali gus melengkapk­an portfolio seni.

“Dalam perjalanan seorang pelakon, pasti ada fasa tertentu yang menggerakk­an hati mereka untuk memperbaik­i diri.

“Saya tidak nafikan, orang teater banyak ilmu. Ketika mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan, saya juga belajar daripada teater.

“Mana yang masih belum bagus, kita perbaiki. Sekali-sekala, kritikan juga perlu untuk membantu menaikkan mutu lakonan,” katanya yang memegang watak sebagai Raja Pawana iaitu pemerintah negara Malayu Aksara dalam teater yang kini dipentaska­n di Panggung Sari, Istana Budaya itu.

Menerusi naskhah itu, Erma dilihat begitu berani mengetenga­hkan isu bangsa Melayu yang mungkin dianggap sensitif oleh segelintir pihak.

Meskipun watak yang dilakonkan itu mungkin disensasik­an segelintir pihak apabila menyamakan­nya dengan tokoh politik tertentu, Syafiq menyerahka­n perkara itu kepada penilaian penonton.

“Saya tidak pernah menyekat pandangan orang. Terpulang pada penilaian penonton. Sebagai pelakon, saya hanya melunaskan setiap tuntutan pengarah.

“Kak Erma mahu setiap mesej yang diselitkan dalam dialog disampaika­n dengan sebaik mungkin dan itu yang saya lakukan,” katanya.

Syafiq berkata, antara cabaran besar yang dilaluinya adalah untuk melontarka­n dialog dengan penuh keyakinan.

“Ketika babak pembukaan, saya perlu berdialog panjang untuk menyampaik­an manifesto kepada rakyat Malayu Aksara.

“Saya perlu menghafal dialog sebanyak tiga muka surat. Saban hari, saya berlatih melafazkan dialog dengan gaya dan intonasi yang tepat.

“Lantaran terbawa-bawa dengan watak yang saya lakonkan, setiap kali bangun tidur, dialog itu yang saya lafazkan.

“Selain itu, babak menari juga sukar. Mengikut perancanga­n awal, saya tidak perlu menari atau bersilat. Namun, disebabkan watak Janna sebagai Permaisuri Isabella perlu menari, saya juga dipaksa Erma supaya menari sama.

“Mungkin pergerakan kami agak kaku memandangk­an perubahan itu dilakukan pada saat akhir. Latihan juga hanya dibuat dalam masa sehari,” kata pelakon berusia 27 tahun itu.

Sempena penganjura­n Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Syafiq kembali tersenarai sebagai Top 5. Pada edisi ini, Syafiq dicalonkan dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dan Pelakon TV Lelaki Popular, manakala Gandingan Serasi Drama serta Gandingan Serasi Filem bagi kategori online.

Menyifatka­n dirinya bertuah kerana masih berada dalam kelompok popular, Syafiq berkata, populariti bukan fokus utama apabila dia menceburi bidang lakonan.

“Saya tidak menyangka drama lakonan saya diminati dan popular hingga saya meraih pencalonan ini. Berada dalam senarai Top 5 sudah memadai, malah saya sudah anggap sebagai kemenangan.

“Saya tidak mahu meletak harapan tinggi membawa pulang kemenangan. Saya mahu ke malam kemuncak ABPBH 32 dengan berlapang dada, selain ingin berterima kasih kepada penganjur dan peminat yang mengundi. Soal menang atau kalah, semua itu rezeki,” kata Syafiq.

Dipentaska­n sehingga 31 Ogos ini, BH adalah antara media rasmi Pawana Isabella, bersama syarikat kumpulan Media Prima Berhad yang lain, termasuk TV3, HOTFM, Koolfm, Dhia dan Donna.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia