Berita Harian

50 peratus pelajar kita di Russia tak penuhi syarat minimum

-

Kuala Lumpur: Kira-kira 50 peratus pelajar kursus perubatan di universiti terkemuka di Russia, didakwa tidak memenuhi syarat minimum untuk mendapatka­n Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) atau No Objection Ceritifica­te (NOC) daripada Kementeria­n Pendidikan.

Perkara itu didedahkan beberapa pelajar dan bekas pelajar kursus berkenaan di negara terbabit yang memaklumka­n, kebanyakan mereka dalam kelompok itu datang ke Russia atas perbelanja­an sendiri.

Pelajar tajaan MARA yang hanya mahu dikenali sebagai Diana berkata, mereka yang tidak memenuhi kelulusan minimum SSLN semakin ramai belajar di universiti di Russia, khususnya apabila pelajar tajaan semakin berkuranga­n.

“Beberapa tahun lalu, tidak ramai pelajar perubatan dari Malaysia di luar negara datang dengan peruntukan sendiri, mereka juga tidak terlalu menonjol.

“Kebelakang­an ini, terutama sejak MARA menghentik­an tajaan pada 2013 dan pelajar tajaannya ramai sudah tamat belajar, jumlah pelajar dari negara kita yang datang dengan perbelanja­an sendiri semakin bertambah.

“Hampir 50 peratus daripada jumlah pelajar biayaan sendiri dari Malaysia di Russia ketika ini, dipercayai tidak memenuhi syarat minimum ditetapkan.

“Ada yang hanya peroleh B bagi Matematik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Bekas pelajar tajaan MARA yang hanya mahu dikenali sebagai Sofea mendakwa, dia mempunyai rakan yang tidak memenuhi kelulusan minimun SSLN, tetapi meneruskan pengajian perubatan di universiti di Russia.

“Saya terkejut ada yang gagal mencapai keputusan cemerlang subjek Matematik Tambahan atau Fizik, ada juga cuba menyorokka­n keputusan,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar dari Malaysia yang mengikuti jurusan perubatan di sebuah universiti di Russia dengan biaya sendiri, mengakui perkara itu turut memberi kesan kepadanya.

“Ramai anggap belajar perubatan di Russia mudah, ramai ke negara itu meskipun dari segi akedemik mereka tidak layak.

“Ramai rakan saya hanya lulus ala kadar bagi subjek teras untuk mengikuti kursus perubatan.

“Saya juga dianggap seperti itu kerana belajar dengan tanggungan ibu bapa, sedangkan sukar dapat biasiswa walaupun keputusan SPM saya cemerlang,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Suzi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia