Berita Harian

‘Tak perlu wujud rang undang-undang isu bendera terbalik’

-

Sandakan: Rang undang-undang berkaitan isu bendera terbalik tidak perlu diwujudkan, sebaliknya usaha mendidik masyarakat cara sebenar pemasangan Jalur Gemilang harus ditekankan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata perkara yang perlu dilakukan ketika ini adalah memberi pendidikan kepada pihak berkenaan berhubung kaedah memasang bendera dengan betul.

“Saya rasa ini hanya memerlukan satu pendidikan dan dalam beberapa minit sahaja mereka akan faham bahawa bendera ini tidak boleh dipasang terbalik. Bulan dan bintang mesti sentiasa di atas jika Jalur Gemilang dipasang.

“Jadi saya rasa untuk mengadakan (menggubal) undang-undang itu mungkin tidak perlu. Bagi mereka yang sengaja memasang bendera terbalik, saya rasa pihak berkuasa memberi amaran kepada mereka,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Kampung Trongliman dan Sekolah Kebangsaan Shanghai, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas isu pemasangan bendera terbalik yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Dalam kejadian terbaru, polis menahan dua individu kelmarin bagi membantu siasatan kes bendera Kedah dan Jalur Gemilang dipasang terbalik di premis mereka di Jalan Pandak Mayah, Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superinten­dan Mohd Iqbal Ibrahim, dilaporkan berkata tangkapan dibuat jam 5 petang selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat orang awam.

Mengulas berhubung program disertainy­a semalam, Vui Keong berkata beberapa kampung di sekitar kawasan dilihat masih kekurangan kemudahan asas seperti bekalan elektrik.

Sehubungan itu, sebuah mesin jana kuasa elektrik disumbangk­an kepada penduduk di lima kampung iaitu Kampung Trongliman, Kampung Shanghai, Kampung Sirabut, Kampung Api-api, dan Kampung Tronglit.

“Hari ini (semalam) kita memberikan sumbangan itu untuk kegunaan penduduk sekitar kawasan ini dan kita harap sumbangan ini mampu membantu masyarakat di sini,” katanya.

 ?? (Foto Hazsyah Abdul Rahman/bh) ?? Vui Keong bersama murid Sekolah Kebangsaan Shanghai semalam. ketika melawat Kampung Trongliman di Sandakan,
(Foto Hazsyah Abdul Rahman/bh) Vui Keong bersama murid Sekolah Kebangsaan Shanghai semalam. ketika melawat Kampung Trongliman di Sandakan,

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia