Berita Harian

Belum cadang mohon naik gaji, elaun penjawat awam

JPA faham situasi kewangan, kerajaan perlu cari jalan tangani kos sara hidup rakyat

- Oleh Haika Khazi mfaizul@bh.com.my

Putrajaya: Jabatan Perkhidmat­an Awam (JPA) belum bercadang memohon kepada kerajaan bagi kenaikan gaji dan elaun tetap lebih 1.6 juta penjawat awam pada masa ini.

Ketua Pengarahny­a, Datuk Seri Borhan Dolah, berkata pihaknya memahami situasi kewangan kerajaan sekarang walaupun semakan semula gaji dan elaun sepatutnya dilakukan setiap tiga tahun.

Beliau juga melihat langkah menaikkan gaji dan elaun penjawat awam yang kali terakhir disemak pada 2012 dan 2013, bukan satu-satunya cara untuk menangani isu peningkata­n kos sara hidup, terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

“Kita bukan tidak mahu memperjuan­gkan kenaikan gaji dan elaun penjawat awam, tetapi kita faham situasi kerajaan sekarang. Kita tahu kesannya jika kerajaan berbuat demikian (menaikkan gaji, elaun penjawat awam) dalam keadaan ekonomi sekarang.

“Jika kerajaan naikkan gaji dan elaun penjawat awam, ia akan beri kesan buruk kepada pekerja sektor lain, misalnya petani dan nelayan, sekali gus meningkatk­an kos sara hidup rakyat secara keseluruha­n. Petani, nelayan mahu cari duit di mana untuk tampung kenaikan kos sara hidup.

“Oleh itu, kita tegaskan lebih wajar kerajaan cari jalan turunkan kos hidup rakyat secara keseluruha­n, termasuk harga rumah, makanan dan keperluan asas yang boleh dikawal,” katanya ketika ditemu bual BH dan New Straits Times (NST), baru-baru ini.

Borhan mengulas desakan CUEPACS yang meminta kerajaan menyemak semula elaun wilayah dan elaun perumahan untuk penjawat awam berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Timbalan Presidenny­a, Zainal Ismail dilaporkan berkata, kadar dua elaun itu ketika ini tidak lagi munasabah dengan keadaan semasa.

Borhan berkata, semakan gaji penjawat awam sepatutnya dibuat setiap tiga tahun, tetapi ia tidak dapat dilakukan selepas semakan terakhir pada 2012 dan 2013 berikutan perubahan kerajaan selepas pilihan raya umum pada Mei 2018.

Bagaimanap­un, katanya, kerajaan tetap mencari jalan terbaik membantu penjawat awam, termasuk menerusi Bantuan Sara Hidup (BSH), Baitulmal dan kaedah lain kepada mereka yang layak.

“Kita juga tidak menghalang penjawat awam menambah pendapatan dengan melakukan kerja sambilan dengan syarat mereka perlu mendapatka­n kelulusan ketua jabatan masing-masing dan tidak menjejaska­n kerja hakiki,” katanya.

Borhan juga menolak andaian bahawa gaji yang didakwa rendah diterima polis, anggota keselamata­n dan penguat kuasa adalah punca mereka menerima rasuah.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, juga pernah bertanya sama ada ada bukti empirikal gejala rasuah berkuranga­n jika kerajaan menaikkan gaji.

“Kalau tanya saya, jawapannya tiada (bukti empirikal) kerana kita tidak dapat buktikan dan tiada tanda menyatakan kenaikan gaji atau elaun akan mengurangk­an masalah rasuah,” katanya.

Beliau berkata, soal wang ringgit tidak akan mencukupi sampai bila-bila.

“Misalnya, kalau dahulu gaji seorang penjawat awam hanya RM1,000, tetapi sekarang bertambah menjadi RM100,000 sekali pun ia tidak mencukupi kerana cara hidup dan keperluann­ya berbeza.

“Dahulu mungkin dia hanya pakai kereta Proton Saga, tetapi sekarang apabila gajinya sudah besar dia mahu pakai kereta Mercedes-benz pula, maka gaji tidak cukup,” katanya.

Borhan juga menjelaska­n gaji pokok polis, anggota keselamata­n dan penguat kuasa lain adalah 30 peratus lebih tinggi berbanding penjawat awam lain.

Kita tahu kesannya jika kerajaan berbuat demikian dalam keadaan ekonomi sekarang.

Ketua Pengarah JPA

 ??  ?? Borhan Dolah,
Borhan Dolah,
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia