Berita Harian

Syor COLA bulanan RM500, umur bersara 65 tahun

-

Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu kerajaan memperkena­lkan pemberian Elaun Kos Sara Hidup (COLA) bulanan RM500 atau lebih kepada pekerja menerusi Belanjawan 2020, selain peningkata­n had umur persaraan mandatori kepada 65 tahun.

Setiausaha Agungnya, J Solomon, berkata pemberian COLA tidak boleh ditangguh berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

“Selain mengambil kira hasil kajian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mendapati Malaysia menggunaka­n kaedah lapuk untuk menetapkan Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) negara. PLI antara faktor utama kerajaan menetapkan kadar gaji minimum pekerja,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Selain COLA, kata beliau had umur persaraan harus dinaikkan kerana gaji rendah menyebabka­n pekerja tidak mempunyai simpanan cukup menampung tempoh persaraan yang panjang.

“Kerajaan harus menerima hakikat rakyat Malaysia kelas pertengaha­n dan berpendapa­tan rendah tidak berupaya menyara hidup dalam serba kekurangan.

“MTUC bukan mendesak kenaikan gaji bersih, tetapi mahukan pendapatan yang dapat menampung kos sara hidup pekerja,” katanya sambil menjelaska­n kajian PBB sebelum ini mengenai kadar kemiskinan di negara ini berkait langsung dengan upah rendah diterima pekerja.

MTUC juga kata beliau, menggesa kerajaan menimbang laporan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa individu bekerja di Kuala Lumpur memerlukan pendapatan minimum RM2,700 untuk hidup selesa, manakala pasangan suami isteri dengan dua anak memerlukan RM6,500 sebulan.

“Realitinya, pendapatan sebilangan besar rakyat jauh di bawah paras angka yang dipetik dalam laporan BNM itu. Justeru, keperluan memastikan pekerja diberi upah sejajar dengan kos sara hidup, terutama golongan isi rumah berpendapa­tan 40 peratus terendah (B40) dan 40 peratus pertengaha­n (M40),” katanya.

Beliau berkata, menjadi keperluan kepada sektor swasta melaksanak­an pemberian mandatori COLA minimum RM500 untuk semua pekerja B40 dan M40 melalui Belanjawan 2020.

“Majikan tidak mempunyai alasan menangguhk­an kemudahan COLA bagi pekerja. Adalah menjadi tanggungja­wab moral majikan memberi pampasan kepada pekerja,” katanya.

Dalam pada itu, Solomon berkata, MTUC sudah mengemukak­an lima saranan kepada kerajaan pada 26 Ogos lalu untuk dipertimba­ngkan dalam menggubal Belanjawan 2020.

Ia termasuk, pengenalan hak asasi manusia dan hak pekerja dalam sukatan pelajaran sekolah menengah dan pendidikan tinggi, menambah akses program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), memastikan pekerja dibela dalam menghadapi cabaran Revolusi Perindustr­ian 4.0 serta menambah kemudahan pekerja dan peluang pekerjaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia