Berita Harian

MCPF cadang tubuh suruhanjay­a kaji akta salah guna dadah

-

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu menubuhkan sebuah suruhanjay­a, bagi mengkaji semula dasar dan undang-undang berkaitan penyalahgu­naan dadah di negara ini.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata suruhanjay­a itu perlu dianggotai pemimpin tertinggi agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar, bagi mengkaji pendekatan lebih rasional dalam usaha menangani masalah berkenaan.

“Pendedahan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, baru-baru ini, bahawa penggunaan dadah di negara ini berada pada tahap kritikal, menunjukka­n betapa serius masalah terbabit, selain membuktika­n kegagalan kita menanganin­ya.

“Lebih membimbang­kan, masalah dadah turut membabitka­n anggota polis.

“Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih 100 anggota dan pegawai polis dikesan positif dadah dalam Op Blue Devil sejak 13 Ogos hingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, suruhanjay­a terbabit boleh melakukan analisis menyeluruh mengenai kegagalan pelbagai program dan inisiatif dalam menangani isu dadah, yang selama ini hanya menumpukan penahanan serta menghukum penagih.

Selain itu, beliau berkata, ia perlu mengambil kira cadangan untuk dekriminal­isasi penagih dadah, kerana mereka tidak seharusnya dilihat sebagai penjenayah tetapi pesakit yang perlu dirawat dan dipulihkan.

“Bagaimanap­un, langkah ini bukan bermakna kerajaan ingin menggalakk­an penyalahgu­naan dadah, kerana pengedaran dadah akan kekal sebagai jenayah,” katanya.

Beliau berkata, suruhanjay­a itu juga perlu mengkaji isu terkini seperti kemasukan dadah sintetik dan mencari jalan untuk membantera­snya, kerana sindiket serta pengedar dadah kini menyasarka­n generasi muda, termasuk pelajar.

“Kita perlu ingat, kerajaan membelanja­kan lebih RM500 juta untuk memenjarak­an penagih dadah yang terbabit jenayah ringan pada 2017 dan lebih RM200 juta lagi bagi menangkap serta menanggung penagih dadah di pusat pemulihan pada tahun sama,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kos dan jumlah penagih dadah yang tinggi itu menunjukka­n negara gagal dalam usaha memerangi dadah selama ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia