Berita Harian

Bapa OKU hantar makanan kepada anak maut nahas

-

Sungai Petani: Perjalanan seorang bapa yang juga orang kurang upaya (OKU) menghantar makanan tengah hari kepada anaknya menjadi yang terakhir apabila terbunuh dalam kemalangan di Jalan Bandar Puteri Jaya, di sini.

Dalam kejadian pada jam 1.15 tengah hari semalam, mangsa, Mohd Yusri Ibrahim, 44, yang cacat pendengara­n dan bisu meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang­inya dirempuh sebuah kereta.

Adik mangsa, Mohd Saiful, 43, berkata abangnya dalam perjalanan menghantar makanan tengah hari kepada anaknya, Mohamad Nor Yazid, 12, yang juga OKU yang tinggal bersama ibu mereka di taman perumahan itu.

Beliau berkata, abangnya sempat singgah ke kedai dobi tempat dia bekerja sebelum pulang menghantar nasi kepada anaknya di rumah.

“Dia hanya memberhent­i motosikaln­ya di hadapan kedai sebelum memberitah­u mahu pulang menghantar makanan tengah hari buat Mohamad Nor Yazid.

“Saya tidak menyangka pertemuan itu kali terakhir sebelum saya diberitahu dia terbabit dalam kemalangan jalan raya tidak jauh dari kedai dobi,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, dalam satu kenyataan berkata, ketika kejadian motosikal Honda Wave yang ditunggang mangsa dipercayai keluar dari simpang secara tiba-tiba.

“Sebuah kereta PERODUA Myvi yang datang dari arah Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Puteri Jaya ke Taman Hillpark tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal mangsa.

“Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke HSAH untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

 ?? (Foto ihsan pembaca) ?? Keadaan motosikal yang ditunggang Mohd Yusri (gambar kecil) selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, semalam.
(Foto ihsan pembaca) Keadaan motosikal yang ditunggang Mohd Yusri (gambar kecil) selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia