Berita Harian

Buka buku baharu

Awie mahu lupakan semua episod getir termasuk ditipu teman baik

- Oleh Hanisah Selamat hanisah@bh.com.my

Diuji sakit misteri hingga mendakwa keluar lintah daripada perut selain disyaki menghidap kanser usus menjadi antara siri dugaan yang dilalui Datuk Awie, tahun lalu.

Namun, perkara paling menggoncan­g emosinya adalah apabila pada suatu ketika, Awie mendakwa ditipu sahabat baik yang sudah dianggap seperti saudara kandung sendiri.

Enggan memanjangk­an perkara itu, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 51, berharap tidak bertemu lagi dengan individu terbabit.

“Ditarik nikmat sihat, difitnah, diduga gangguan mistik dan sebagainya tidak sesakit ditipu orang paling rapat yang saya anggap macam adik.

“Ramai menasihatk­an saya buat laporan (polis), tetapi biarlah, saya harap dia sedar. Setiap manusia ada baik dan buruknya. Jadi saya ambil sahaja kebaikan yang pernah dia buat.

“Saya memang tak boleh jumpa dengannya... bimbang tidak mampu kawal emosi. Kalau apa yang dia buat itu boleh menjadikan dirinya kaya, baguslah. Tetapi kalau tak, bertaubatl­ah.

“Saya pula manusia yang mudah percaya orang. Nak buat macam mana? Apa pun yang berlalu, biarlah berlalu. Saya mahu buka buku baharu,” katanya ditemui selepas sidang media Konsert Romantika Awie 2020 di ibu negara, minggu lalu.

Bersyukur dikurniaka­n rezeki dalam bentuk lain selepas dianiaya, akui vokalis Wings itu, tawaran persembaha­n mega yang dirancang itu, hadir tepat pada waktunya.

Bakal berlangsun­g di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor, pada 15 Februari 2020, konsert itu direalisas­ikan sempena ulang tahun ke-25 sebagai penyanyi solo.

Bersama anggota Wings, mereka sama-sama mengharung­i sepak terajang dunia muzik sejak 35 tahun lalu.

“Saya bersyukur kerana konsert ini mendapat sokongan rakan usaha sama dan penaja yang yakin acara ini mampu menarik lebih 6,000 penonton.

“Sebelum ini, saya terfikir mahu buat konsert solo di Istana Budaya tetapi dapat peluang mengadakan­nya di lokasi lebih besar.

“Kami merancang merealisas­ikan acara ini mengikut konsep teaterikal dengan mempersemb­ahkan lebih 18 lagu termasuk dendangan penyanyi lain mengikut tema romantika.

“Saya ingin keluar kepompong yang orang nampak Awie saja. Mana tahu saya akan sampaikan lagu Datuk Jamal (Abdillah) atau Anuar Zain mungkin?

“Malah, saya sendiri akan memikul tanggungja­wab sebagai pengarah untuk membuat susunan lagu yang bakal diselit monolog, drama atau babak daripada filem cinta,” katanya lagi.

Masih pada peringkat perancanga­n bersama IK Global dan Atirox Ltd selaku penganjur, Awie berkata, pihaknya bercadang mengundang artis wanita untuk turut serta dalam konsert berkenaan.

Antara yang disenaraik­an adalah Erra Fazira, Ziana Zain dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Saya pernah mengundang Erra ke konsert Wings selain Ziana. Ada juga hasrat menjemput penyanyi seberang. Namun, semuanya masih dalam perincian.

“Kami ada sebab kukuh mengundang penyanyi dimaksudka­n supaya tema yang mahu diketengah­kan terus memancing khalayak,” katanya.

Awie berharap dapat berkongsi momen bersejarah sepanjang dua jam konsert berlangsun­g terutama peminat yang membesar dengan lagunya.

“Selepas hampir 25 tahun tidak muncul dengan konsert solo, saya harap peminat tidak melepaskan peluang menjadi sebahagian daripada detik bersejarah itu.

“Siapa tahu mereka pernah membesar dengan lagu saya dapat mengimbau kenangan manis ketika zaman muda dulu.

“Begitupun, seperti saya nyatakan, seleksi dendangan yang bakal dipersemba­hkan sangat meluas termasuk lagu penyanyi lain.

“Cuma saya harap terus sihat, diberikan tenaga dan tiada lagi berdepan gangguan supaya konsert ini dapat direalisas­ikan sebaik mungkin,” luahnya.

Tambah Awie, dia sering diuji dengan pelbagai masalah kesihatan setiap kali mahu mengadakan konsert berskala mega.

“Ketika Konsert Laksamana Metal tahun lalu, saya keluar masuk hospital kerana masalah kaki bengkak yang bukan berpunca daripada gout.

“Ini disusuli insiden tiga lintah keluar daripada pusat ketika berubat di Indonesia, beberapa bulan kemudian. Saya sedar ada yang tidak kena apabila perut saya membusung tiba-tiba.

“Alhamdulil­lah, selepas itu, sakit saya semakin berkuranga­n. Tetapi masih perlu menjalani rawatan susulan sama ada secara klinikal mahu pun alternatif,” katanya.

Kami merancang merealisas­ikan acara ini mengikut konsep teaterikal dengan mempersemb­ahkan lebih 18 lagu termasuk dendangan penyanyi lain mengikut tema romantika

 ??  ?? Awie meraikan ulang tahun ke-25 sebagai artis solo dalam konsert istimewa.
Awie meraikan ulang tahun ke-25 sebagai artis solo dalam konsert istimewa.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia