Berita Harian

Dua ulama gegar semangat merdeka Malaysia, Indonesia

Forum sorot sumbangan ilmuwan tuntut, pertahanka­n kemerdekaa­n

- Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof afzan@bh.com.my

Sumbangan ulama tanah air meniup roh dan semangat kemerdekaa­n dalam masyarakat sebenarnya amat besar. Catatan sejarah membuktika­n golongan agamawan secara langsung terbabit dalam proses kemerdekaa­n negara baik di negara ini mahupun Indonesia.

Sheikh Abdullah Fahim Sheikh Ibrahim (1879 - 1961) antara alim ulama yang terbabit secara langsung dengan kemerdekaa­n negara.

Beliau bukan sahaja antara agamawan Tanah Melayu terbabit menyusun draf kemerdekaa­n, bahkan menjadi rujukan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman dalam memilih tarikh bersesuaia­n untuk memperoleh kemerdekaa­n negara.

Bekas Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Yusof Othman, berkata Sheikh Abdullah Fahim yang memiliki kepakaran dalam bidang ilmu falak ialah agamawan bertanggun­gjawab ‘meramalkan’ Tanah Melayu Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Mohd Yusof berkata, ini kerana pada hemah Sheikh Abdullah Fahim, perjuangan menuntut kemerdekaa­n pada ketika itu sebagai ‘buah yang sudah masak.’

“Beliau berkata, sekiranya 1957 tidak jadi maka merdeka akan terjadi lima tahun selepas tarikh berkenaan, iaitu pada 1962,” katanya pada Forum Kemerdekaa­n Sempena Bulan Kemerdekaa­n Malaysia dan Indonesia: Jasa Besar Syeikhul Islam Tuan Guru Haji Abdullah Fahim dan Hadratus Syeikh Kiai Haji Muhammad Hasyim Asy’ari di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabang­sa (IAIS), Kuala Lumpur.

Mohd Yusof yang juga Penasihat Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Badawi (LEGASI) berkata, Sheikh Abdullah Fahim yang memiliki keistimewa­an mengagumka­n, iaitu bijak dan tajam pemikiran meramalkan sesuatu.

“Antara cadangan dikemukaka­nnya kepada Tunku Abdul Rahman adalah supaya rombongan ke London yang menuntut kemerdekaa­n itu, tidak menaiki kapal terbang, sebaliknya menaiki kapal supaya mempunyai masa mencukupi untuk berbincang,” katanya.

Mohd Yusof berkata, kepakaran dalam perkiraan berdasarka­n peredaran bulan yang dimiliki Sheikh Abdullah Fahim turut diakui bekas perdana menteri yang juga cucunya, iaitu Tun Abdullah Badawi.

“Muslim dengan bulan bukan asing kerana ia penentu perubahan air pasang surut, apatah lagi sinonim dengan umat Islam yang sering mengembara untuk berdakwah kerana menjadikan alam sebagai sumber rujukan.

“Catatannya antara lain membabitka­n takwim yang boleh digunakan sampai kiamat seperti disebut dalam tulisan itu kerana alam mengikut tabii ditetapkan Allah SWT,” katanya.

Mohd Yusof berkata, selepas kembali ke tanah air, Sheikh Abdullah Fahim terus aktif mengajar agama di rumah pusakanya di Kepala Batas, Seberang Prai.

Tidak lama selepas itu, tokoh berkenaan dijemput menjadi guru agama di Pondok Tuan Haji Wan Sulaiman Sidik, Kampung Limbong Kapal, Alor Setar.

Sewaktu di Kedah, beliau diberi penghormat­an tinggi oleh pemerintah negeri dan dilantik sebagai guru agama kepada Sultan Kedah, sekali gus antara kemuncak pencapaian dalam bidang pendidikan Islam.

Mohd Yusof berkata, Sheikh Abdullah Fahim, kembali semula ke kampungnya di Kepala Batas pada 1925.

“Sheikh Abdullah Fahim meneruskan usaha mengajar agama di anjung rumah pusaka yang ketika itu, ada lima pelajar tetap, termasuk Sheikh Abu Bakar Baqir dan Abdul Halim Hadi.

“Pertambaha­n jumlah pelajar menyebabka­n tempat pengajian dipindahka­n ke Masjid Kepala Batas di berhadapan rumahnya,” katanya.

Bagaimanap­un pada 1932, Sultan Perak ketika itu, Sultan Iskandar Shah menjemput Sheikh Abdullah Fahim sebagai mudir atau pengetua di Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar hingga 1947.

Ketika seluruh dunia berhadapan kegawatan, Sheikh Abdullah Fahim difitnah Inggeris bahawa beliau sedang berpakat untuk menjatuhka­n kerajaan sedangkan beliau dan kumpulan agamawan lain sedang merangka draf Tanah Melayu merdeka.

“Tokoh gemilang ini meninggal dunia di Kepala Batas pada 28 April 1961 dengan meninggalk­an seorang anak, iaitu Ahmad Badawi.

“Meskipun tidak menghasilk­an buku, beliau berjaya ‘mencetak’ tokoh ulama daripada institusi pendidikan dibinanya, Dairat al-ma’arif al-wataniyyah,” katanya.

Sementara itu, gerakan kemerdekaa­n di Indonesia turut dipelopori agamawan seperti dikongsi oleh Pengasuh Ponpes Putri Tebuireng Jombang, KH Fahmi Amrullah Hadzik.

Fahmi Amrullah berkata, antara ulama Indonesia yang terbabit dalam gerakan kemerdekaa­n ialah pengasas Nahdlatul Ulama (NU), KH Muhammad Hasyim Asy’ari yang mengeluark­an fatwa penting bersama ulama Jawa dan Madura, iaitu Fatwa Resolusi Jihad pada 22 Oktober 1945.

Beliau yang juga cucu ulama itu berkata, fatwa berkenaan menggelora­kan perjuangan rakyat Indonesia seluruh Indonesia untuk mempertaha­nkan kemerdekaa­n yang diisytihar­kan pada 17 Ogos 1945.

Katanya, Resolusi Jihad KH Hasyim Asy’ari antara lain bermatlama­t berjuang mempertaha­nkan kemerdekaa­n sebagai kewajipan agama.

“Gerakan massa, NU yang ditubuhkan pada 1926, menjadi antara organisasi terbesar di Indonesia ketika itu yang banyak menyuntik semangat merdeka rakyat Indonesia, malah keahlianny­a melebihi 90 juta orang,” katanya.

Fahmi Amrullah berkata, Kiai Muhammad Hashim ialah anak lelaki ketiga antara 11 adik-beradik dan mewarisi kepemimpin­an ayahnya, Kiai Asyari dan abangnya yang masing-masing adalah tokoh agama dan pemimpin pesantren.

Katanya, sungguhpun beliau tidak mendapat pendidikan formal berikutan sewaktu kecil, Indonesia berada dalam cengkaman penjajah, iaitu sekolah hanya diperuntuk­kan kepada kaum tertentu.

“Sewaktu berusia 15 tahun, Kiai Muhammad Hashim menitip ilmu dari sekolah pondok dan pada 1892, beliau memutuskan ke Makkah dan belajar dengan beberapa guru termasuk Sheikh Ahmad Kahtib Minangkaba­u, Sayyid Alwi Ahmad as-saqqaf dan Sayyid Abbas Maliki,” katanya.

Sekembali ke tahan kelahirann­ya di Jombang Jawa Timur pada 1899, Kiai Muhammad Hashim mendirikan Pesantran Tebuireng yang terkenal dengan pengajaran ilmu hadis, sekali gus sekolah terbesar di Jawa.

Agamawan ini mempunyai 14 anak termasuk Abdul Wahid yang pernah menjadi Menteri Agama, manakala cucunya, Abdulrahma­n Wahid atau lebih dikenali sebagai Gus Dur ialah presiden Indonesia keempat.

Antara cadangan dikemukaka­nnya kepada Tunku Abdul Rahman adalah supaya rombongan ke London yang menuntut kemerdekaa­n itu, tidak menaiki kapal terbang, sebaliknya menaiki kapal supaya mempunyai masa mencukupi untuk berbincang.

Mohd Yusof Othman, Bekas Pengarah Institut Islam Hadhari UKM

 ?? (Foto Rohanis Shukri/bh) ?? Dari kiri, Mohd Yusof, Fahmi Amrullah, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican dan Dr KH Muhammad Hasam pada Forum Kemerdekaa­n Sempena Bulan Kemerdekaa­n Malaysia dan Indonesia di IAIS Malaysia, baru-baru ini.
(Foto Rohanis Shukri/bh) Dari kiri, Mohd Yusof, Fahmi Amrullah, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican dan Dr KH Muhammad Hasam pada Forum Kemerdekaa­n Sempena Bulan Kemerdekaa­n Malaysia dan Indonesia di IAIS Malaysia, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia