Berita Harian

Novelis popular turut terkesan tempias pasaran

-

Kuala Lumpur: Pasaran novel popular yang lazim dianggap menguntung­kan, merosot hampir 50 peratus ekoran kelembapan industri buku tanah air.

Malah, sejak beberapa tahun kebelakang­an ini, trend penurunan novel popular semakin ketara.

Penerbit dan novelis popular, Siti Rosmizah Semail, berkata novel popular turut merasa tempias sama dalam suasana industri buku semasa apabila banyak karya gagal dipasarkan, terutama membabitka­n penulis baharu.

“Karya penulis laris di pasaran yang biasanya mencatat jualan 100,000 naskhah setahun, merosot hampir sekali ganda ketika ini.

“Ketika pasaran buku masih stabil, penjualan novel popular walaupun karya penulis baharu mampu catat jualan 30,000 hingga 40,000 naskhah setahun, tetapi kini untuk mencapai jualan 2,000 naskhah pun sukar,” katanya.

Siti Rosmizah berkata, keadaan itu memaksa mereka menghentik­an pengambila­n karya penulis baharu, sebaliknya memberi tumpuan terhadap penulis sudah mempunyai nama atau pengikut.

“Malah, sejak akhir tahun lalu kami sudah menghentik­an semua penerbitan buku dan hanya menjual stok karya sedia ada di stor,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran pengunjung di pesta buku juga merosot hingga ada syarikat penerbitan yang langsung tidak memperoleh untung, sebaliknya menanggung kos sewa tapak jualan.

“Kemeriahan jualan buku sudah tidak seperti sebelum ini, termasuk di Pesta Buku Antarabang­sa Kuala Lumpur (PBAKL).

“Jadi untuk meneruskan survival perniagaan, kami terpaksa melobi stesen televisyen untuk mengadapta­si novel berpotensi ke drama. Justeru, dengan cara ini ia sedikit sebanyak membantu jualan novel yang ada dalam simpanan syarikat,” katanya.

Siti Rosmizah berkata, pihaknya juga melaksanak­an pelbagai inisiatif melariskan buku, termasuk promosi jualan murah RM5 hingga RM10 senaskhah, tetapi masih gagal menaikkan jualan.

Beliau berkata, lambakan buku di pasaran menjadi antara faktor jualan novel popular merosot kerana pembaca mempunyai kuasa memilih lebih luas.

“Apabila jurang penawaran berkali ganda lebih besar daripada permintaan, ia pasti menyebabka­n berlaku lambakan.

“Apatah lagi, ramai penulis menerbitka­n buku sendiri kerana tidak mahu menunggu lama untuk mendapatka­n bayaran royalti daripada penerbit.

“Kami faham mereka juga terpaksa berbuat demikian untuk terus survival dalam industri ini,” katanya.

Siti Rosmizah berkata, banyak faktor menyebabka­n industri buku merosot antaranya masalah ekonomi, kejatuhan mata wang, kurang kuasa beli dan minat membaca masyarakat semakin menurun, selain kehadiran gajet mengubah gaya hidup masa kini.

“Kami berharap kerajaan dapat memberi tumpuan kepada industri buku tempatan dan menyalurka­n pelbagai insentif, termasuk mewujudkan semula skim baucar buku.

“Kami berharap kerajaan dapat memberikan geran peruntukan lebih besar kepada Perpustaka­an Negara Malaysia (PNM) untuk membolehka­n lebih banyak karya penulis dibeli dan diletakkan di perpustaka­an seluruh negara.

“Industri buku negara memerlukan talian hayat untuk terus berdaya saing dan kerajaan perlu melaksanak­an mekanisme terbaik menghidupk­annya kembali,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap Belanjawan 2020 dapat membawa perkhabara­n baik, sekali gus memberi kesan positif kepada industri buku negara.

 ??  ?? Siti Rosmizah Semail
Siti Rosmizah Semail

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia