Berita Harian

Korek pasir, tambak laut jejas hasil nelayan

- Khoo Salma Nasution, Ahli Jawatankua­sa Penang Forum

Dalam laporan Berita Harian pada 24 Ogos lalu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil, menyatakan aktiviti perlombong­an pasir dan tambak laut menjejaska­n kehidupan ribuan nelayan pantai.

Terdapat juga laporan bahawa kemusnahan hutan paya bakau dan penceroboh­an oleh nelayan asing memudaratk­an habitat laut dan memburukka­n situasi nelayan yang semakin susah.

Malah, aktiviti tambak laut juga menyebabka­n kemusnahan lebih ketara kepada habitat laut Malaysia. Projek tambak laut di perairan Pulau Pinang menyebabka­n tangkapan ikan bagi nelayan pantai berkuranga­n. Situasi serius ini harus ditangani dengan strategi pemulihan yang menyeluruh oleh pihak berkuasa untuk menghalang kemusnahan alam sekitar dan membantu nelayan terjejas.

Temu bual dengan nelayan pantai dari Tanjung Tokong, Tanjung Bungah, Gurney dan Paramount pada sesi aduan nelayan anjuran Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Penang Forum menunjukka­n penurunan ketara jumlah dan kepelbagai­an hasil tangkapan sejak projek tambak Seri Tanjung Pinang (1 dan 2) serta Gurney Wharf bermula pada 2016.

Nelayan menyatakan tangkapan udang besar turun daripada 15 kilogram (kg) sehari kepada satu hingga dua kg sehari. Kerang, ikan bawal dan ikan sembilang tiada di kawasan itu, manakala jumlah tangkapan ikan lain turun mendadak.

Hampir semua yang ditemubual menyatakan kualiti air laut merosot selepas tambakan. Nelayan yang dahulunya memperoleh RM2,000 sebulan, hanya mampu meraih RM600 sebulan.

Pada sesi aduan di Bagan Ajam pula, nelayan ditemu bual berkata, projek tambak Lingkaran Jalan Luar Butterwort­h yang siap pada 2005 menjejaska­n kualiti dan kepelbagai­an hasil tangkapan di kawasan itu. Sehingga kini, laut dan hasil laut tidak pulih ke tahap sebelum tambakan.

Seorang nelayan berkata, sebelum ini, tangkapann­ya antara 50 hingga 70 ikan bawal sehari, tetapi selepas tambak, hanya dua ekor sehari diperoleh. Air laut di kawasan itu sekarang juga kotor, berlumpur dan keruh.

Ada mendakwa laut tercemar menyebabka­n mereka mengalami masalah kulit. Yang lain pula mengadu mereka kini sering tertangkap obor-obor dan landak laut. Sampah di laut juga sering merosakkan jaring mereka dan memerlukan lebih perbelanja­an untuk diganti.

Laut antara Butterwort­h dan Tanjung Tokong memang terkenal dengan ikan kembung (pelaling) yang dahulu sering dibeli untuk makanan kucing kerana harganya yang rendah. Hari ini ikan kembung yang dinamakan ‘ikan rakyat’ oleh LKIM berharga mahal dan sukar diperoleh.

Perlu diingat nelayan adalah pengawas laut yang paling boleh dipercayai, kerana perubahan di laut akan mempunyai kesan langsung terhadap pendapatan seharian mereka. Mereka tahu keadaan laut yang terbaik untuk memperoleh tangkapan ikan yang banyak.

Mereka arif tempat ikan membiak di kawasan persisiran pantai dan tahu bila laut dibeban pencemaran dan pemendapan daripada jumlah tangkapan yang berkuranga­n atau ketiadaan ikan di kawasan itu.

Mereka harus pantau jauh ke depan kerana tahu memukat secara tradisiona­l adalah kegiatan ekonomi yang memerlukan pengurusan berterusan bagi memastikan bekalan ikan, laut dan persisiran pantai terus sihat dan mampan.

Pencemaran akibat tambakan laut, perlombong­an pasir dan sisa buangan mungkin menjejaska­n industri akuakultur. Taufan Lekima baru-baru ini menyebabka­n sisa pencemaran timbul dari dasar laut dan mengakibat­kan kematian 50,000 ikan di Pulau Pinang adalah satu kerugian besar untuk industri akuakultur.

Minggu lalu, beberapa insiden pencemaran dikesan di Batu Ferringhi, Teluk Bahang dan Teluk Kumbar. Punca pencemaran masih belum dikenal pasti, tetapi pencemaran laut di Pulau Pinang mencapai tahap kritikal.

Justeru, kami menyeru LKIM atau badan kerajaan yang berkenaan menganjurk­an kajian mendalam mengenai impak tambakan oleh institusi bebas yang berwibawa.

Hasil kajian boleh membantu pihak kerajaan merangka dasar bernas bagi memulihkan kawasan terjejas di darat dan laut. Sekiranya kajian mendapati kawasan itu tidak dapat dipulihkan sepenuhnya, aktiviti tambakan harus diberhenti­kan.

Kami sedar semua aktiviti tambakan dan perlombong­an pasir di Perlis, Kedah, Penang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah dirancang tanpa menghirauk­an nasib dan kepentinga­n komuniti nelayan persisiran pantai.

Negara kita dibina dengan titik peluh dan darah nelayan serta petani. Mereka berhak mendapat pembelaan sewajarnya, apatah lagi ketika negara sudah 62 tahun merdeka.

 ??  ?? Keratan akhbar BH 24 Ogos lalu.
Keratan akhbar BH 24 Ogos lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia