Berita Harian

Pencapaian jadi ukuran ke Olimpik Tokyo 2020

Norza harap pemain badminton tak ambil mudah saingan

- Oleh Helmi Talkah helmi.talkah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pencapaian Sukan SEA Filipina akan menjadi kayu pengukur terhadap kemampuan skuad negara pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Katanya, biarpun temasya dwitahunan itu hanya membabitka­n penyertaan atlet negara dari Asia Tenggara namun generasi baharu sukan badminton lahir dari rantau itu.

“Generasi pelapis datang dari Singapura, Thailand dan Indonesia. Jadi kita tidak boleh ambil mudah saingan Sukan SEA nanti,” katanya selepas saingan akhir eracing Grand Prix SEA di sini, semalam.

Majlis penyampaia­n hadiah kepada pemenang disempurna­kan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim.

Minggu lalu, Pengarah Kejurulati­han BAM, Wong Choong Hann meletakkan sasaran dua emas untuk skuad badminton negara yang akan beraksi di Manila.

Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, Choong Hann sudah membuat justifikas­i mengenai sasaran di Sukan SEA dan jurulatih bersama pemain perlu menjadikan­nya sebagai penanda aras.

“Saya tidak mahu mereka hanya melakukan latihan seperti biasa. Mereka perlu faham peminat mahu melihat satu perubahan,” katanya.

Ditanya mengenai kehadiran Datuk Kenny Goh yang akan memulakan tugas sebagai Setiausaha Agung BAM secara rasminya esok, Norza berkata, beliau mengharapk­an satu perubahan besar.

“Keputusan membawa masuk Setiausaha Agung secara sepenuh masa adalah untuk melengkapk­an lagi khidmat sokongan yang sedia ada di dalam BAM. Jadi saya mengharapk­an satu perubahan besar akan berlaku,” katanya.

 ?? (Foto Nurul Syazana Rose Razman/bh) ?? Steven (empat dari kiri) bersama Norza (tiga dari kanan) dan Pengasas Axle Motorsport, Alex Yoong (dua kiri) bergambar dengan pemenang kejohanan eracing Grand Prix termasuk Mior Hafiz (tengah) di 3 Damansara, Kuala Lumpur, semalam.
(Foto Nurul Syazana Rose Razman/bh) Steven (empat dari kiri) bersama Norza (tiga dari kanan) dan Pengasas Axle Motorsport, Alex Yoong (dua kiri) bergambar dengan pemenang kejohanan eracing Grand Prix termasuk Mior Hafiz (tengah) di 3 Damansara, Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia