Berita Harian

‘Pemain sedia fizikal, mental’

-

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya perlu menyerap segala tekanan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, sekiranya mahu mencipta keputusan positif berdepan Indonesia pada aksi pertama Kumpulan G kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Khamis ini.

Kapten Harimau Malaya, Farizal Marlias, berkata semua pemain perlu bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal untuk bertandang ke gelanggang itu yang sudah pasti bakal dipenuhi puluhan ribu penyokong skuad Garuda.

Penjaga gol berusia 33 tahun itu turut mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki skuad Harimau Malaya untuk memastikan persembaha­n lebih mantap dapat dipamerkan bagi mengharung­i kempen kelayakan kali ini.

“Kita tak tahu kekuatan Indonesia, cuma apa membezakan­nya mungkin kita bermain di tempat lawan. Kita sedar penyokong mereka bagaimana, jadi semua pemain kena bersedia sepenuhnya,” katanya.

Skuad Harimau Malaya juga perlu melupakan kekalahan 0-1 kepada Jordan dalam aksi persahabat­an, Jumaat lalu, sebaliknya memberi fokus memperbaik­i kelemahan terutama di bahagian serangan.

Malah, Farizal turut menuntut rakan sepasukan di bahagian serangan tidak mensia-siakan peluang terhidang bagi mencipta jaringan di Jakarta nanti.

“Semua pemain nak menang dan saya harap rakan sepasukan tidak patah semangat walaupun tewas kepada Jordan kerana kami perlu bangkit dalam perlawanan seterusnya.

“Apa yang penting aksi berdepan Jordan sebelum ini adalah sebagai persediaan awal untuk kami berdepan UAE pada perlawanan kedua kempen kelayakan. Kita tahu corak permainan dua pasukan itu lebih kurang sama,” katanya.

Kita sedar penyokong mereka bagaimana, jadi semua pemain kena bersedia sepenuhnya.

Farizal Marlias, Kapten Harimau Malaya

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia