Berita Harian

Harimau lega Sumareh kian pulih

-

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya mendapat khabar gembira menjelang aksi pembukaan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Indonesia, Khamis ini selepas Mohamadou Sumareh semakin pulih daripada kecederaan.

Sumareh yang juga pemain naturalisa­si pertama negara sebelum ini dilaporkan bergelut dengan masalah kecederaan pangkal paha, sekali gus menggusark­an pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang sangat menagih khidmatnya untuk bertandang ke Stadium Gelora Bung Karno nanti.

Pemain sayap Pahang itu sebelum ini lebih banyak melakukan proses pemulihan dan perkembang­an terbaru yang menyaksika­n dia mula menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya semalam, sudah cukup melegakan Cheng Hoe.

Cheng Hoe bagaimanap­un menjelaska­n barisan kejurulati­han tetap masih memantau perkembang­an Sumareh bagi memastikan dia benar-benar bersedia untuk diturunkan berdepan Indonesia.

“Sudah pasti ia satu petanda positif buat pasukan kerana sepanjang bersama skuad kebangsaan, Sumareh beraksi dengan baik dan sentiasa memberi impak yang besar.

“Saya harap dia pulih 100 peratus sebelum lawan Indonesia kerana kita perlukan semua pemain berada dalam keadaan terbaik,” katanya, semalam.

Selepas berdepan Indonesia, skuad Harimau Malaya akan meneruskan aksi kedua Kumpulan G berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 September ini.

Sementara itu, Sumareh turut mengakui bahawa dia sudah bersedia jika menjadi pilihan Cheng Hoe untuk diturunkan berdepan Indonesia.

“Pasukan perubatan melakukan kerja dengan terbaik dan saya rasa keadaan saya lebih baik sekarang.

“Saya terlepas dua perlawanan bersama Pahang dan tidak beraksi ketika Malaysia berdepan Jordan, tetapi saya akan berusaha untuk kembali kepada prestasi terbaik.

“Menentang Indonesia bukan mudah terutama beraksi di hadapan penyokong mereka dan ia sentiasa menjadi perlawanan yang sukar. Tapi saya yakin dengan kemampuan rakan sepasukan yang lain untuk mendapatka­n keputusan positif,” katanya.

 ?? (Foto Hafiz Sohaimi/bh) ?? Sumareh (dua dari kiri) menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya di Bukit Jalil, semalam.
(Foto Hafiz Sohaimi/bh) Sumareh (dua dari kiri) menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya di Bukit Jalil, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia