Berita Harian

Hajat qiamullail tak kesampaian

Budak maut basikal dilanggar kereta di Jalan Datuk Muhd Musa malam kelmarin

- Oleh Garret Dawum bhnews@bh.com.my

Kota Samarahan: Hasrat seorang kanak-kanak untuk menyertai program qiamullail di kampungnya tidak kesampaian apabila terkorban selepas basikal ditunggang dilanggar kereta di Kilometer 3 Jalan Datuk Muhd Musa, di sini, malam kelmarin.

Seorang peserta program mingguan itu, Mohd Khairi Kassim, 27, berkata nahas berlaku ketika mangsa, Arif Fahmi Cassidy, 10, dari Kampung Sindang, di sini, dalam perjalanan pulang ke rumah bersama kakaknya berusia 12 tahun dan sepupu selepas menjalani latihan silat.

“Mereka sebenarnya akan mengikuti program qiamullail anjuran pemuda kampung, malam itu, namun tidak disangka kejadian berkenaan akan menimpa arwah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menceritak­an lanjut, Mohd Khairi berkata, ketika kejadian, beliau bersama anak muda di kampung itu sedang membuat persiapan sebelum kedatangan peserta lain.

“Ketika berada di dalam Masjid Darul Ikhlas, Kampung Sindang, kami terdengar bunyi rempuhan sebelum bergegas keluar untuk memeriksa.

“Saya terkejut apabila melihat seorang kanak-kanak lelaki yang berlumuran darah sedang dipangku kakaknya sambil menangis teresak-esak.

“Saya kemudian terus mengangkat mangsa untuk diberikan bantuan,” katanya.

Beliau turut memaklumka­n, jenazah Arif Fahmi selamat dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sindang sebelum zuhur, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10.30 malam kelmarin, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan lanjut di Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat parah di kepala.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik Sarawak, Superinten­dan Alexson Naga Chabu, ketika dihubungi mengesahka­n kejadian berkenaan.

Beliau berkata, mangsa menerima rawatan awal di Pusat Jantung HUS (PJHUS) sebelum menghembus­kan nafas terakhir di HUS pada jam 6.20 pagi semalam.

Katanya, pemandu kereta Perodua Myvi berusia 33 tahun terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, berdasarka­n maklumat awal, pemandu Perodua Myvi berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Desa Ilmu dari pejabat Kawasan Pembanguna­n Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Samarahan ketika kejadian.

“Sebaik saja tiba di lokasi kejadian, pemandu itu dikatakan ternampak sekumpulan penunggang basikal terdiri daripada empat hingga lima orang beriringan dari arah sama.

“Ketika menghampir­i kumpulan penunggang basikal itu, tiba-tiba seorang daripada mereka didakwa membuat pusingan U dan menghala ke arah kereta terbabit.

“Pemandu berkenaan dikatakan cuba mengelak ke kanan tetapi gagal kerana ada kenderaan lain datang dari arah bertentang­an menyebabka­n Perodua Myvi itu bertembung dengan basikal terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kes masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

 ??  ?? Arif Fahmi Cassidy
Arif Fahmi Cassidy

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia