Berita Harian

Rektor UITM penerima anugerah Maal Hijrah

-

Sri Aman: Rektor Universiti Teknologi MARA (UITM) Cawangan Sarawak, Prof Datuk Dr Jamil Hamali, mengetuai senarai penerima anugerah pada sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M peringkat Sarawak, semalam.

Beliau menerima Anugerah Kepimpinan Organisasi daripada Yang di-pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, pada majlis berlangsun­g di Dewan Suarah, di sini, sekali gus memperoleh hadiah wang tunai RM10,000 berserta sijil.

Sementara itu, pensyarah UITM Sarawak, Prof Madya Dr Hasmah Mohidin, pula menerima Anugerah Pencapaian Penyelidik­an dan Pembanguna­n dengan hadiah wang tunai RM7,000 serta sijil.

Anugerah Pegawai Awam Islam Cemerlang disampaika­n kepada Mahdzar Julaihi, manakala Philip Chayong menerima Anugerah Pegawai Bukan Islam Cemerlang, dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Pasangan Kana Ragon dan Hamdiah Zaini pula menerima Anugerah Keluarga Cemerlang dengan hadiah wang tunai RM5,000.

Masjid Attaqwa, Bintulu, memperoleh Anugerah Pengurusan dan Pentabiran Masjid Cemerlang yang membolehka­nnya menerima projek RM30,000.

Surau Darul Ihsan, Kampung Badong, Daro, meraih Anugerah Pengurusan dan Pentadbira­n Surau Cemerlang dengan menerima hadiah projek RM20,000.

Anugerah Sekolah Menengah Agama Cemerlang pula disampaika­n kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Zaidi, manakala Anugerah Sekolah Rendah Agama Cemerlang diraih Sekolah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, dengan masing-masing menerima RM3,000.

Anugerah Pelajar Sijil Tinggi Persekolah­an Malaysia (STPM) Cemerlang diperoleh Mohd Hafizan Julai yang menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan insentif melanjutka­n pengajian berjumlah RM4,000.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia