Berita Harian

RM312J biayai pembanguna­n

-

Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutua­n menyalurka­n peruntukan lebih RM312 juta bagi membiayai pelbagai projek pembanguna­n di bandar raya ini, tahun ini.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, berkata jumlah itu membabitka­n 40 projek disenaraik­an dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKE-11), termasuk enam projek baharu yang bermula tahun ini.

Beliau berkata, senarai lengkap projek dan peruntukan itu diserahkan kepadanya sebagai panduan serta semakan berhubung nilai setiap projek yang dilaksanak­an dan jumlah peruntukan disalurkan bagi tahun ini.

“Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumka­n senarai projek dilaksanak­an di kawasan Parlimen Sandakan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan pada Mei lalu.

“Ia bukan rasuah seperti didakwa pihak tertentu. Kali ini, saya juga mendedahka­n senarai projek bagi Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Foong Hin yang juga Setiausaha DAP Sabah berkata, RM312 juta itu adalah sebahagian daripada RM3.78 bilion nilai peruntukan 40 projek terbabit yang diluluskan Kerajaan Persekutua­n bagi Kota Kinabalu dalam RMKE-11.

Beliau berkata, antara projek berkenaan ialah menaik taraf Jalan Tun Fuad, termasuk tiga bulatan iaitu Bulatan Perkasa, Jalan Istiadat dan Jalan Pasir, dengan RM40 juta disalurkan tahun ini daripada RM374 juta nilai peruntukan disalurkan Kerajaan Persekutua­n.

Katanya, sebanyak RM5 juta daripada RM291.8 juta turut disalurkan tahun ini bagi projek pembinaan persimpang­an bertingkat dan pelebaran jalan bandar raya, manakala RM2.5 juta daripada RM31.3 juta turut disalurkan tahun ini bagi projek Pusat Pakar Pergigian Sabah.

Seterusnya, beliau berkata, Kerajaan Persekutua­n memperuntu­kkan RM320 juta melalui RMKE-11 bagi melaksanak­an beberapa projek menaik taraf dan mengukuhka­n pengagihan tenaga di Kota Kinabalu, iaitu di Karamunsin­g, Tanjung Lipat serta Sembulan.

“Bagi menambah baik bekalan air di bandar raya ini pula, Kerajaan Persekutua­n memperuntu­kkan sebanyak RM429 juta bagi menaik taraf kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II kepada 160 juta liter sehari (MLD) berbanding 80 MLD ketika ini,” katanya.

Foong Hin berkata, enam projek baharu yang dimulakan tahun ini termasuk menaik taraf pusat pelupusan sampah di Kayu Madang, Telipok, dan pembinaan Taman Botani Sabah di Taman Tun Fuad Stephen, Bukit Padang, masing-masing bernilai RM40 juta serta RM20 juta.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia