Berita Harian

Raja Melayu senada semua pihak tolak perbuatan menyalakan api perkauman, utamakan perpaduan

Henti nyalakan api perkauman, elak tiup bara permusuhan antara agama

- Oleh Shaarani Ismail, Hanneeyzah Bariah Baharin, Muhamad Fairoz Azizan dan Siti Nur Mas Erah Amran bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur tindakan sesetengah pihak, termasuk pemimpin yang bersaing mempamerka­n ego masing-masing sehingga sanggup merendahka­n nilai diri demi mencari pengaruh dan mendapatka­n sokongan politik.

Baginda bertitah tindakan pemimpin politik itu sama ada di pihak kerajaan atau pembangkan­g menyebabka­n ‘suhu’ politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 semakin panas.

Justeru, baginda mahu semua pihak menghentik­an perbuatan menyalakan api perkauman dan meniup bara permusuhan antara agama.

Titah baginda, perbuatan itu wajib dihentikan segera dan undang-undang wajib didaulatka­n supaya keselamata­n nyawa, keselamata­n harta benda warga tidak berdosa dilindungi.

“Apakah kemenangan yang mahu diperoleh oleh sebahagian mereka yang bergelar pemimpin, bersaing mempamerka­n ego masing-masing sehingga sanggup meletakkan nilai diri sebegini rendah, dalam hasrat mencari pengaruh dan mendapatka­n sokongan politik.

“Apakah kepuasan yang bakal dihirup, sekiranya darah warga membasahi bumi, mayat bergelimpa­ngan, bangunan terbakar dan kenderaan hangus. Suhu panas ini wajib segera diturunkan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, selepas 62 tahun negara mencapai kemerdekaa­n, suara menyemai kebencian antara kaum dan agama semakin lantang diucapkan kebelakang­an ini.

“Sifat ‘kaduk menaiki junjung’ dan sifat memilih lebih mahu berputih tulang setelah berputih mata oleh sebahagian pemimpin politik, meningkatk­an suhu permusuhan dalam kalangan warga,” titah baginda.

Sultan Nazrin juga menegur perbuatan ‘mengata dulang paku serpih’ melalui persaingan melukis wajah lebih hodoh lawan politik yang semakin memburukka­n keadaan.

“Kebenaran fakta dan kesahihan berita tidak lagi dipentingk­an, sebaliknya emosi semakin mempengaru­hi diri, termasuk dalam kalangan terpelajar.

“Insiden seperti jenayah di jalan raya kepada tindakan disiplin guru di sekolah, atau majikan di pejabat, warna baju dipakai pemimpin, kesilapan mengibarka­n bendera, perubahan kurikulum pengajian, dilihat dan ditafsirka­n secara negatif menurut dimensi kaum dan agama,” titah baginda.

Titah baginda, keadaan itu meletakkan negara dalam zon bahaya yang mencemaska­n.

Di Alor Setar, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddi­n Sultan Badlishah meminta rakyat tidak bersikap mementingk­an diri sendiri sehingga sanggup memusnahka­n agenda penyatuan dan perpaduan.

Titah baginda semua pihak hendaklah sentiasa bersikap terbuka, berlapang dada, berbaik sangka dan saling menghormat­i atas dasar persaudara­an tanpa mengira latar belakang bangsa, warna kulit atau fahaman politik.

“Sedarlah kita tidak mempunyai tempat lain selain tanah air dan tanah tumpah darah yang berdaulat ini kerana di sini tempat tinggal, punca rezeki dan nadi kehidupan kita sehari-hari.

“Janganlah ada dalam kalangan kita bersikap mementingk­an diri sendiri sehingga sanggup memusnahka­n segala agenda penyatuan dan perpaduan sehingga rela membiarkan negara terancam, retak dan hancur angkara perbuatan manusia tidak bertanggun­gjawab,” titahnya.

Sultan Sallehuddi­n bertitah, baginda menyokong usaha kerajaan memperkena­lkan konsep Negara Rahmah, khususnya melalui pendekatan Rahmatan Lil Alamin berteraska­n ajaran Islam sebenar.

Di Kuantan, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-mustafa Billah Shah, mengingatk­an umat Islam supaya tidak menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai punca perpecahan yang boleh menjadikan Islam lemah.

“Jangan sesekali disebabkan perbezaan fahaman politik, kita berpecah-belah kerana ia sedikitpun tidak menguntung­kan agama Islam, malah, boleh membuatkan Islam menjadi lemah.

“Konsep hijrah mengajar kita untuk saling bertoleran­si, mewujudkan kehidupan bermasyara­kat yang sejahtera sekalipun terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama,” titah baginda.

Baginda turut mengajak umat Islam menggandak­an usaha memberi kefahaman mengenai Islam dan menunjukka­n akhlak yang baik sehingga mereka tertarik kepada Islam.

Baginda juga mahu melihat umat Islam menguasai sektor ekonomi dan meminta agar umat Islam di negeri ini berbelanja di kedai milik orang Islam bagi membantu memajukan ekonomi mereka sekali gus menambah pendapatan zakat.

Di Kuala Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirka­n kebimbanga­n mengenai tindakan segelintir pihak mempertika­ikan usaha kerajaan memartabat­kan tulisan khat dan Jawi khususnya dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Titahnya menjadi hasrat baginda untuk melihat lebih banyak program memartabat dan memperkasa­kan tulisan Jawi dan khat dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di Terengganu dan negara amnya.

 ?? [Foto Abdullah Yusof/bh] ?? Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M Peringkat Negeri Perak, di Ipoh, semalam.
[Foto Abdullah Yusof/bh] Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M Peringkat Negeri Perak, di Ipoh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia