Berita Harian

Kaji pembenihan awan di Sarawak

Metmalaysi­a sedang teliti kesesuaian laksana operasi tangani jerebu

- Suzalina@bh.com.my

Oleh Suzalina Halid Kuala Lumpur: Jabatan Meteorolog­i Malaysia (Metmalaysi­a) meneliti kesesuaian operasi pembenihan awan dilakukan di Sarawak khususnya di Kuching susulan jerebu.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat di kesan di daerah itu akibat kebakaran di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata sehingga kini Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri sedang memantau situasi termasuk menyediaka­n penutup muka kepada orang ramai.

Beliau berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan negeri akan menyediaka­n peruntukan bagi perolehan penutup hidung dan mulut.

“Pagi ini (semalam) dimaklumka­n bacaan IPU sangat tidak sihat di Sarawak khususnya Kuching dengan bacaan sekitar 206 namun bacaan IPU di Semenanjun­g dan Sabah umumnya masih di tahap baik.

“Kita akan terus memantau situasi ini termasuk sedang meneliti kesesuaian Operasi Pembenihan Awan dibuat mengambil kira keadaan atmosfera di kawasan terbabit, ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jalinan Kasih 2019 anjuran Lembaga Penduduk dan Pembanguna­n Keluarga Negara (LPPKN), di sini, semalam.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyatakan faktor utama kepada bacaan IPU yang tinggi adalah berikutan 455 tompok panas akibat kebakaran di Kalimantan dan Sumatera.

“Pergerakan angin memberi kesan jerebu rentas sempadan ke Malaysia khususnya setakat ini ke Sarawak selain kejadian kebakaran belukar tanah gambut di Kuala Baram, Miri juga menyebabka­n keadaan sekitar berjerebu.

Setakat jam 9 pagi semalam, Kuching mencatat IPU sangat tidak sihat iaitu 204 manakala lapan kawasan mencatatka­n bacaan IPU tidak sihat antara 106 hingga 186 termasuk tiga kawasan di Miri iaitu sekitar Bandar Raya Miri, Sekolah Kebangsaan (SK) Baram 2 serta Institut Latihan Perindustr­ian (ILP) Miri.

Kawasan lain mencatat IPU tidak sihat ialah Sri Aman, Samarahan, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Sementara itu, Metmalaysi­a menasihatk­an orang ramai mengurangk­an aktiviti luar dan memakai penutup muka, bagi mengurangk­an kesan terhadap kesihatan susulan keadaan cuaca berjerebu, yang melanda negara ketika ini.

Ketua Pengarah Metmalaysi­a, Jailan Simon, berkata selain itu mereka juga dinasihatk­an minum banyak air, dan tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka dalam tempoh ini.

“Keadaan berjerebu berlaku berikutan peningkata­n bilangan tompok panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia dan kemungkina­n hujan lebat di wilayah tersebut dan negara ini adalah rendah dalam tempoh seminggu akan datang.

“Sehubungan itu, potensi negara mengalami cuaca berjerebu rentas sempadan masih tinggi, terutama di barat dan selatan Semenanjun­g serta barat Sarawak,” katanya dalam kenyataan.

Di Miri, BERNAMA melaporkan murid-murid yang menduduki peperiksaa­n Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di kawasan yang dilanda jerebu akan diberi topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga.

Sekretaria­t Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak berkata topeng muka diserahkan kepada Jabatan Pendidikan negeri bagi persediaan UPSR untuk bahagian Kuching, Samarahan, Serian dan Sri Aman pagi semalam.

“Jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 201, sekolah ditutup tetapi murid yang menduduki UPSR akan diteruskan dengan pemantauan ketat oleh sekolah dan petugas pemeriksaa­n,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Seramai 40,448 murid Tahun Enam di Sarawak menduduki UPSR yang bermula Rabu lepas.

Sabah pula mencatatka­n bacaan IPU sederhana.

 ?? (Foto L Manimaran/bh) ?? Suasana bandar raya Kuching dengan bacaan IPU 206 pada jam 9.45 pagi, semalam.
(Foto L Manimaran/bh) Suasana bandar raya Kuching dengan bacaan IPU 206 pada jam 9.45 pagi, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia