Berita Harian

Pemimpin gerakan Syiah ditahan

JAIS turut cekup 21 pengikut ajaran di markas kumpulan

- Bhnews@bh.com.my

Oleh Norrasyida­h Arshad dan Ruwaida Md Zain Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seorang lelaki yang dipercayai pemimpin gerakan Syiah di negara ini dalam satu serbuan di Gombak, malam kelmarin.

Timbalan Pengarah JAIS, Azlinda Azman berkata, pihaknya turut menahan 21 pengikut ajaran itu di sebuah premis yang dijadikan markas kumpulan fahaman itu pada jam 9.55 malam.

Selain penahanan 22 individu itu, Azlinda berkata, JAIS turut menyita kain rentang, bingkai gambar, batu karbala, kitab serta buku berkaitan Syiah.

“JAIS menerima aduan daripada orang ramai berkaitan aktiviti yang dijalankan penganut ajaran Syiah ini.

“Berikutan itu, siasatan dilakukan dan mendapati adanya perjumpaan di lokasi itu.

“Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Agama Islam Gombak untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Azlinda berkata, tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 12(C), Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan JAIS bertepatan dengan fatwa yang diwartakan pada 17 Oktober 2013 oleh Jabatan Fatwa Negeri Selangor bahawa Syiah bercanggah dan menyelewen­g dari ajaran Islam mengikut Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

“Antara ajaran Syiah ini ialah menolak Ijmak’ Ulama, menetapkan Islam bukan sebagai syarat Haji selain menyebabka­n perpecahan ummah,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Azlinda mengingatk­an rakyat Selangor supaya menolak Syiah seperti kandungan khutbah Jumaat yang dibaca semalam.

“JAIS akan terus memantau penganut ajaran ini untuk memastikan tiada sebarang aktiviti berkaitan Syiah terutamany­a berkaitan sambutan Hari Karbala yang disambut setiap 10 Muharam.

“JAIS tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap penganut ajaran Syiah dan memohon kerjasama orang awam memaklumka­n sebarang aktiviti mencurigak­an berkaitan kesalahan jenayah syariah kepada pihak penguat kuasa JAIS di talian 1-800-88-2424,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerajaan Selangor tetap berpegang kepada larangan terhadap amalan Syiah.

“Kita sudah jelaskan dan berulang kali dalam khutbah menyebut berkenaan larangan Syiah ini,” katanya.

 ??  ?? Serbuan JAIS di markas kumpulan Syiah di Gombak, malam kelmarin.
Serbuan JAIS di markas kumpulan Syiah di Gombak, malam kelmarin.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia