Berita Harian

Kes tak subur patut dibiayai insurans

Kos tinggi punca pesakit tidak mampu dapat rawatan

- Oleh Suzalina Halid suzalina@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengadakan perbincang­an dengan pihak berkepenti­ngan, supaya rawatan subfertili­ti atau masalah ketidaksub­uran disenaraik­an sebagai sesuatu yang ditanggung insurans.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata ia adalah usaha bagi menangani tahap kesuburan populasi Malaysia, yang jatuh secara mendadak tahun ini.

“Pada masa ini, kadar kos yang tinggi menyebabka­n masih ramai pasangan tidak mempunyai ruang untuk mendapatka­n rawatan subfertili­ti.

“Kos rawatan subfertili­ti dianggarka­n antara RM1,000 dan RM12,000.

“Mungkin sebagai permulaan prosedur Permanian Dalam Rahim (IUI) boleh ditanggung dari skim perlindung­an kesihatan, terutama bagi warga kerja sektor swasta,” katanya ketika merasmikan program Jalinan Kasih 2019 anjuran Lembaga Penduduk dan Pembanguna­n Keluarga Negara (LPPKN) di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kadar kesuburan keseluruha­n (TFR), iaitu purata bilangan kelahiran bagi setiap wanita dalam lingkungan usia reprodukti­f di Malaysia dilaporkan jatuh dari 6.7 pada 1957 kepada 1.9 pada 2019.

Beliau berkata, senario penurunan TFR menjadikan Malaysia negara tua menjelang 2030, apabila 15 peratus daripada populasi rakyat mencapai umur 60 tahun ke atas waktu itu.

“Jika penurunan TFR tidak ditangani, negara akan seterusnya mencapai 20 peratus warga tua menjelang 2040, sekali gus memberi cabaran kepada negara untuk mengurus peningkata­n perbelanja­an kesihatan,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Azizah berkata, majikan, syarikat insurans dan institusi yang berkepenti­ngan wajar berganding bahu dalam usaha membantu masyarakat mendapatka­n rawatan subfertili­ti.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia