Berita Harian

Bantai ular besar

-

Oleh Roselan Ab Malek

Kampung Bantal, iaitu sebuah perkampung­an terbesar di Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang mempunyai kisah menarik yang ramai tidak diketahui masyarakat, tambahan pula kedudukann­ya jauh di pedalaman.

Jika menyebut nama kampung itu, pasti orang terfikir ia mesti ada kaitan langsung dengan bantal, namun ia sebaliknya. Bagaimanak­ah tercetusny­a nama unik kampung berkenaan?

Mengikut seorang penduduk tempatan, Japron Ali, 61, berkata pada masa dahulu terdapat seekor ular besar yang tinggal dan menyorok dalam satu alur di tebing Sungai Tembeling berhampira­n kampung itu.

Katanya, ular itu amat ditakuti penduduk kerana sudah meragut ramai nyawa penduduk yang berperahu di sungai berkenaan.

“Setiap kali penduduk melalui sungai itu, ular itu akan menelan mangsa dan apabila kekenyanga­n ia tidak akan muncul,” katanya.

Japron berkata, keadaan itu membimbang­kan penduduk dan sentiasa berada dalam ketakutan setiap kali melalui sungai itu untuk mencari rezeki.

Katanya, ketua kampung ketika itu mengambil keputusan untuk memanggil penduduk bagi mengadakan mesyuarat bagaimana untuk menghapusk­an ular besar itu.

“Akhirnya mereka mendapat idea untuk memerangka­p ular terbabit. Lazimnya ular itu tidak muncul beberapa hari dan akan timbul semula jika kelaparan,” katanya.

Hasil perbincang­an, penduduk sepakat membuat beberapa rakit menggunaka­n batang pisang dan di atasnya diletakkan patung orang-orang.

Penduduk kampung menghanyut­kan rakit itu satupersat­u dan jika rakit itu tidak diganggu selang beberapa hari mereka akan menghanyut­kan lagi rakit lain.

Tidak berapa hari ular itu muncul dari alur di tebing sungai dan terus menggigit rakit batang pisang itu untuk memakan patung orang-orang yang dianggapny­a manusia.

Jafron berkata, apabila ular itu menggigit, giginya melekat pada batang pisang berkenaan. Ketua kampung mengarah anak buahnya bersedia menunggu di tebing sungai untuk membunuh ular besar itu sambil menjerit ‘bantai, bantai, bantai’ yang bermaksud pukul.

“Penduduk yang bersenjata parang, lembing, buluh dan kayu terus memukul ular itu sambil berteriak ‘bantai, bantai, bantai’ sehinggala­h ular itu mati,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Japron berkata, mereka mengambil sempena nama kampung itu dikenali sebagai kampung Bantai sempena dengan peristiwa memukul ular besar berkenaan.

“Oleh sebab sebutan perkataan bantai jika disebut berkali-kali dalam loghat daerah itu bunyinya seakan bantal dan ia kekal ke hari ini sebagai Kampung Bantal,” katanya.

Kampung Bantal adalah kampung yang terbesar di kawasan hulu sungai kerana di situ terdapat klinik kesihatan, pondok polis, sekolah dan Istana Sri Tembeling yang menjadi tempat berehat Sultan Pahang ketika melawat kampung itu dahulu.

Selain Kampung Bantal, mukim Ulu Tembeling juga mempunyai beberapa lagi kampung yang namanya juga unik dan menarik minat orang ramai untuk mengetahui­nya, iaitu seperti Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Mat Daling, Kampung Kucing dan Kampung Gusai.

Secara keseluruha­nnya, Ulu Tembeling jauh dari Jerantut dan mempunyai kawasan yang paling luas iaitu 416,997,16 hektar, turut meliputi Taman Negara.

Kedudukan Ulu Tembeling ini juga paling pedalaman dan bersempada­n dengan Terengganu dan Kelantan. Kawasan itu hanya boleh dihubungi melalui jalan sungai, Sungai Tembeling.

Namun begitu, kini kerajaan sedang melaksanak­an projek jalan raya di kawasan terbabit dan sudah boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia