Berita Harian

‘Kilang’ atlet sepak takraw

-

Kuala Terengganu: Terengganu yakin akan terus melahirkan atlet terbaik dalam sukan sepak takraw, kata Pengurus Pertanding­an Sepak Takraw Sukan Terengganu 2019 (SUTERA2019), Rosmadi Mohamad.

Katanya, pencapaian atlet dalam sukan sepak takraw begitu memberangs­angkan dengan penyertaan semua lapan daerah dan juga daripada pasukan sepak takraw wanita.

“Kami yakin Terengganu akan terus menjadi ‘kilang’ atlet terbaik buat negara,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT) berkata, SUTERA2019 edisi sulung yang sedang berlangsun­g bukan saja menjadi medan terbaik kepada atlet sebelum beraksi pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 di Johor tahun depan, tetapi turut berjaya mencungkil bakat baharu.

“Objektif penganjura­n tercapai terutama pendedahan kepada pemain muda, sekali gus dapat melahirkan bakat baharu yang boleh diketengah­kan dalam kejohanan di peringkat kebangsaan seperti Liga Sepak Takraw Kebangsaan (STL) dan SUKMA tahun depan,” katanya.

Beliau yang ditemui pada aksi final berpasukan pada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sini, semalam, berkata pada saingan kali ini, beberapa bakat baharu dikenal pasti boleh menonjol jika mendapat bimbingan dan latihan.

Antaranya, apit kanan dari Kemaman, Muhammad Shairan Saidi, 21; Ahmad Syazwan Ramzi, 20, (apit kanan dari Kuala Nerus) selain pemain wanita dari Marang, Nurul Nor Shafiqah Ramli, 19.

“Selain itu, SUTERA ini juga disertai beberapa pemain negeri dan bekas pemain kebangsaan bagi memastikan matlamat untuk meningkatk­an lagi potensi pemain muda menerusi ilmu yang dicurahkan pemain berpengala­man,” katanya.

Antara pemain negeri yang turut menyertai SUTERA2019 ialah tekong, Irsyad Faiz Aziz yang mewakili Kuala Nerus, Izurin Refin dan Kamal Alfiza mewakili Setiu serta bekas perejam kebangsaan, Rosmadi Abd Ghani yang menyarung jersi Kuala Nerus.

Dalam perlawanan akhir itu, Kuala Nerus menepati ramalan selepas mengutip pingat emas dengan menundukka­n Kemaman 2-1 yang terpaksa akur dengan pingat perak, manakala pingat gangsa dimenangi pasukan Hulu Terengganu dan Besut.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia