Berita Harian

Lela buat kem terjun negara cemas

-

Kuala Lumpur: Kecederaan belakang sekali lagi menghantui penerjun negara, Pandelela Rinong apabila terpaksa menarik diri ketika sedang beraksi dalam acara 10 meter platform seirama wanita pada Piala Terjun Asia kelapan di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, di sini semalam.

Pandelela yang berganding­an bersama Leong Mun Yee mengambil keputusan untuk menarik diri selepas melakukan terjunan kedua ‘back dive’ biarpun pada mulanya mendahului kutipan mata.

Untuk rekod, gandingan Pandelela-mun Yee sudah pun menempah tiket ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo selepas memenangi pingat perak pada Kejohanan Dunia FINA, Julai lalu.

“Sebenarnya saya dapat rasakan masalah belakang saya datang balik pagi tadi (semalam), cuma saya cuba nak teruskan tetapi selepas terjunan kedua, impak daripada terjunan ke dalam air saya dapat rasakan belakang saya semakin teruk.

“Selepas berbincang dengan jurulatih (Christian Brooker), saya rasa lebih baik menarik diri daripada semakin teruk,” katanya yang mengatakan kesakitan itu adalah kecederaan lama yang menyebabka­n dia terpaksa menarik diri pada Sukan Asia di Indonesia pada tahun lalu dan terpaksa berehat panjang.

Acara 10 meter platform seirama wanita yang berlangsun­g itu hanya disertai Malaysia dan Korea Utara bagaimanap­un diumumkan tiada pemenang selepas penyertaan Korea Utara yang menurunkan Jo Jon Mikim Mi Rae dibatalkan oleh jawatankua­sa teknikal dan pengadilan.

“Kita masih meneruskan acara biarpun hanya ada dua pasukan sertai namun pada pertengaha­n acara, pasukan Malaysia iaitu Pandelela mengalami kecederaan dan pengurus pasukan Malaysia menarik diri.

“Jika acara itu diteruskan, hanya ada Korea Utara namun pegawai teknikal mendapati salah seorang penerjun Korea Utara tak didaftarka­n bertanding untuk acara itu dan di bawah peraturan FINA, jika penerjun itu bertanding maka penyertaan­nya akan dibatalkan,” kata pegawai teknikal, Tony Koh yang enggan menamakan penerjun terbabit.

Sementara itu, acara 3m papan anjal wanita pula menyaksika­n penerjun muda yang berusia 17 tahun, Ong Ker Ying berjaya mengetepik­an penerjun senior, Jasmine Lai untuk merangkul pingat emas apabila mencatat 215.35 mata, hanya 3.15 mata di hadapan Jasmine.

Pingat gangsa dimenangi penerjun Indonesia, Yasmin Linadini (153.65 mata).

 ?? (Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din/ BH) ?? Pandelela dan Mun Yee melakukan terjunan pada acara 10 Meter platform seirama wanita pada Kejohanan Piala Terjun Asia yang diadakan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
(Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din/ BH) Pandelela dan Mun Yee melakukan terjunan pada acara 10 Meter platform seirama wanita pada Kejohanan Piala Terjun Asia yang diadakan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia