Berita Harian

Fokus cipta sejarah baharu

Davies mahu lupakan detik hitam dibelasah UAE

- Oleh Zulfaizan Mansor zulfaizan@bh.com.my

Kuala Lumpur: Skuad kebangsaan perlu mengelak daripada sekali lagi diaibkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjelang aksi kedua Kumpulan G kempen Kelayakan Pusingan Kedua Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

Harimau Malaya pernah berdepan detik hitam selepas dibelasah 10-0 oleh UAE pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi, empat tahun lalu.

Pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies mengakui peristiwa yang berlaku di Stadium Mohammed Bin Zayed itu masih berada dalam ingatannya.

Namun, Davies menjelaska­n Harimau Malaya tidak perlu untuk memikirkan mengenai sejarah hitam itu, sebaliknya memberi fokus untuk mencipta sejarah baharu.

“Saya masih ingat (tewas 10-0 kepada UAE) walaupun saya berada di bangku simpanan. Tapi kali ini kami tampil dengan skuad yang berbeza dan dengan semangat baharu.

“Kami mahukan keputusan positif berdepan UAE, menang atau seri ia akan menjadi keputusan yang baik bagi kami.

“Kami juga tidak hanya mahu mengharung­i perlawanan ini untuk mengurangk­an jaringan daripada dibolosi, tapi kami mahukan kemenangan atau mendapatka­n mata,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan, semalam.

Malaysia kini mengunggul­i Kumpulan G selepas mengumpul tiga mata susulan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Khamis lalu.

Berdasarka­n sejarah rekod pertemuan kedua-dua pasukan, kali terakhir Malaysia mencipta kemenangan ke atas UAE ketika Pesta Bola Merdeka 1982 dengan keputusan 1-0.

Bagi Davies, dia enggan melihat sejarah itu sebagai halangan untuk Harimau Malaya mencipta kejutan di hadapan ribuan penyokong sendiri.

“Saya fikir perlawanan dengan UAE seakan sama dengan aksi Indonesia sebelum ini sudah lama kita tidak menang di Indonesia. Jadi, kami perlu kekal positif dan tidak terlalu memikirkan mengenai sejarah lalu, sebaliknya lebih fokus mencipta sejarah baharu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia