Berita Harian

Keluar tender projek baik pulih sekolah daif

-

Kuching: Proses tawaran tender bagi pelaksanaa­n fasa pertama projek baik pulih lima daripada 37 sekolah daif di Sarawak sudah dikeluarka­n.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidik­an Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, berkata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dijadual merasmikan pelancaran kerja baik pulih itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tisang di Bintulu pada 11 September ini.

Beliau berkata, proses tender bagi fasa kedua baik pulih 32 lagi sekolah daif akan dijalankan pada Oktober ini.

“Kerja-kerja membaiki sekolah daif yang dalam kategori kritikal akan turut membabitka­n pembinaan blok baharu,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Manyin berkata, banyak sekolah di Sarawak dibina sebelum penubuhan Malaysia lebih 50 tahun lalu dan kebanyakan­nya tidak dibaiki selama ini.

“Sebahagian daripada sekolah itu dibina berdekatan dengan sungai dan mengalami kerosakan disebabkan banjir,” katanya.

Mengenai SK Tisang yang akan menjadi sekolah pertama menjalani proses baik pulih itu, Manyin berkata, ia akan membabitka­n penggantia­n blok kayu dengan bangunan konkrit empat tingkat.

“SK Kujang Mawang di Tebedu pula akan menjadi sekolah berpusat pertama di Sarawak yang juga termasuk dalam senarai 37 sekolah yang akan dibaik pulih itu.

“Sekolah berpusat akan menjadi model bagi Sarawak dalam usaha mempromosi­kan konsep sekolah berpusat yang menggabung­kan sekolah kurang murid (SKM),” katanya.

Beliau berkata, terdapat 651 SKM di seluruh Sarawak dengan beberapa sekolah hanya mempunyai 10 pelajar sahaja dengan bilangan minimum guru adalah 13 orang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia