Berita Harian

Gesa siasat PDP gagal lantik kontraktor Bumiputera

-

Kuching: Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Sarawak menggesa Kementeria­n Kerja Raya menjalanka­n siasatan segera berhubung kegagalan Rakan Pelaksana Projek (PDP) Lebuh Raya Pan Borneo, Lebuh Raya Borneo Utara Bhd (LBU) melantik kontraktor dalam kalangan Bumiputera.

Yang Dipertuany­a, Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi berkata, beberapa kontraktor Bumiputera Sarawak sudah diberikan Surat Niat (LOI) untuk terbabit dalam pelaksanaa­n projek itu sejak 2016.

Bagaimanap­un katanya, sehingga kini mereka masih belum menerima Surat Anugerah (LOA) daripada PDP dan juga kontraktor utama yang melaksanak­an projek mega bernilai RM16.49 bilion itu.

“Kini, PDP sudah dibatalkan dan PKBM menyokong penuh langkah kerajaan itu, tetapi nasib kontraktor G7 yang sudah menerima LOI ini masih tidak diketahui.

“Mengikut kontrak, projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo itu mengambil masa lima tahun dan kini tempoh hanya tinggal dua tahun, tetapi kami tidak mendapat maklum balas apakah skop kerja yang akan diberi kepada kontraktor Bumiputera itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Mesyuarat Pertama PKBM Sarawak yang disempurna­kan oleh Setiausaha Bahagian Perancanga­n Korporat, Kementeria­n Kerja Raya, Zureen Zubir, di sini, semalam.

Justeru, Abang Aditajaya berkata, pihaknya mahu Menteri Kerja Raya, Baru Bian, membantu menyelesai­kan kemelut yang dihadapi kontraktor Bumiputera itu.

“Sebelum dibatalkan oleh kerajaan, PDP mengemukak­an laporan bahawa 30 peratus kontraktor yang terbabit dalam projek itu adalah Bumiputera, tetapi kita mahu Kementeria­n Kerja Raya menyiasatn­ya, apakah benar jumlah kontraktor Bumiputera seperti yang dilaporkan.

“Kebanyakan syarikat yang sudah menerima LOI itu berpengala­man antara 10 hingga 15 tahun dan berupaya melakukan kerja, tetapi malangnya sehingga kini mereka tidak menerima LOA dan tidak tahu apakah status mereka sekarang selepas PDP dibatalkan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia