Berita Harian

Polemik umur bersara 65 tahun

-

Ikuti soal jawab bersama Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor dan Yang Dipertua Kesatuan Mahasiswa UM, Mohd Akmal Hazieq Ahmad Rumaizi

MTUC sentiasa relevan dalam membuat tuntutan untuk kesejahter­aan pekerja. Mengenai cadangan had umur persaraan ini, kita kena melihat beberapa elemen penting dalam konteks pekerja sebagai rakyat, pengguna, pemangkin ekonomi dan banyak lagi. Abdul Halim Mansor,

Presiden MTUC

Cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk meningkatk­an had umur persaraan daripada 60 tahun kepada 65 tahun seperti dilakukan beberapa negara maju, termasuk Singapura menimbulka­n perdebatan hangat dan menerima bantahan, terutama daripada belia yang menganggap­nya menjejaska­n peluang anak muda. Wartawan BH, JUNITA MAT RASID menemubual Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor dan Yang Dipertua Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Mohd Akmal Hazieq Ahmad Rumaizi, mengenai rasional had umur persaraan dinaikkan kepada 65 tahun.

Abdul Halim Mansor

S: Apa rasional mempertaha­nkan had umur persaraan dinaikkan kepada 65 tahun. Cadangan menaikkan had umur persaraan dilihat mendapat maklum balas negatif daripada orang ramai, termasuk menteri sendiri.

J: MTUC sentiasa relevan dalam membuat tuntutan untuk kesejahter­aan pekerja. Mengenai cadangan had umur persaraan ini, kita kena melihat beberapa elemen penting dalam konteks pekerja sebagai rakyat, pengguna, pemangkin ekonomi dan banyak lagi.

Bagi pekerja sektor kerajaan, kerajaan membayar pencen, tetapi bagi swasta, mereka kena menyimpan untuk bekalan selepas bersara. Sebenarnya had umur bersara ini sudah disuarakan sejak awal 1990-an lagi dan ketika itu MTUC mencadangk­an had umur 60 tahun. Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan had umur 56 tahun. Perjuangan MTUC diteruskan sehingga kerajaan bersetuju mengadakan akta umur minimum swasta kerana sebelum itu tiada akta untuk dirujuk dan hanya bergantung kepada surat pekeliling sektor awam. Dulu kita minta had umur persaraan 60 tahun kerana pada waktu itu juga ada persetujua­n gaji minimum kebangsaan diadakan. Ketika itu kita melihat akan ada kenaikan gaji minimum jadi kita rasa mungkin simpanan cukup, tetapi selepas 12 tahun apabila berlaku kemeleseta­n ekonomi dan kejatuhan mata wang menyebabka­n kita melihat simpanan pekerja tidak mencukupi untuk menyara kehidupan selepas bersara. Contohnya, pada masa ini, pekerja swasta dilaporkan tidak mempunyai simpanan yang cukup waktu bersara umur 60 tahun dengan simpanan tidak sampai RM150,000. Malah ada yang hanya mempunyai simpanan RM30,000 atau RM50,000 di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ini bermakna mereka tidak mempunyai cukup wang untuk menyara kehidupan selepas tidak lagi bekerja. Kita juga melihat mereka yang berpendapa­tan 40 peratus terendah (B40) dan 40 peratus pertengaha­n (M40) juga tidak mempunyai cukup simpanan dan secara tidak langsung kita fikir kenapa tidak lanjut usia sedangkan mereka boleh bekerja.

S: Cadangan MTUC menerima pandangan negatif segelintir pihak yang berpandang­an bahawa langkah itu mengurangk­an peluang pekerjaan belia, selain menganggap usia selepas 60 tahun tidak lagi sesuai untuk bekerja sepatutnya sudah bersara. Apa pandangan MTUC?

J: Saya agak tidak gembira dengan pandangan negatif yang tidak bersetuju dengan cadangan itu, seolah-olah kita tidak menghargai jasa mereka yang berkhidmat dengan syarikat dan memberikan dukungan ekonomi kepada negara. Mereka yang dikatakan telah tidak bermaya bekerja ini sebenarnya sudah menyumbang untuk negara dan mereka masih boleh bekerja. Ini yang dikatakan sebagai tenaga guna pakai. Seperti sedia maklum, had umur persaraan 65 tahun ini masih dalam cadangan.

Banyak perkara yang kita boleh bincangkan. Kita kena bawa berbincang peringkat Kementeria­n Sumber Manusia dan peringkat antara kementeria­n berkaitan. Kita akui ada pekerja berusia 60 tahun sudah tidak sihat, itu semua kita ambil kira kerana tidak semua yang boleh atau layak bekerja sehingga 65 tahun.

Sudah pasti ada kriteria tertentu yang boleh ditetapkan. Kalau kita lihat, cara kerja orang lama ini berbeza, mereka lebih berpengala­man dan bijak mengendali­kan urusan kerja berbanding mereka yang baharu bekerja biasanya akan mengikut peraturan dan tidak berani membuat perubahan.

S: Apa pandangan MTUC bahawa langkah meningkatk­an had umur persaraan ini akan menyekat peluang kakitangan muda daripada naik pangkat dan graduan untuk mendapat pekerjaan?

J: Antara perkara yang dibincangk­an masyarakat adakah relevan untuk bekerja pada umur 60 tahun dan adakah belia hilang ruang bekerja. Pada masa ini kita mempunyai 6.7 juta pekerja yang berdaftar dengan KWSP, selain 1.6 juta kakitangan awam yang menjadikan jumlah keseluruha­n kira-kira 9 juta pekerja. Berdasarka­n laporan Kementeria­n Sumber Manusia, kita hanya mempunyai kira-kira 3.3 peratus penganggur.

Tidak benar kalau kata belia tidak akan dapat kerja sebab had umur persaraan dilanjutka­n kerana jumlah yang menganggur tidak ramai. Pada masa sama kita mempunyai 2 juta pekerja asing berdaftar di negara ini. Kita kena melihat apa rencana yang dibuat Kementeria­n Belia dan Sukan serta Kementeria­n Pendidikan mengenai pekerjaan baharu untuk pelajar yang baru keluar sekolah, kolej atau universiti. Kita juga perlu melihat keperluan pekerjaan asing ini supaya boleh diambil alih oleh belia kita, walaupun tidak semua sektor pekerjaan.

Tidak semestinya belia yang habis belajar terus dapat ambil alih tempat kerja tinggi, sebaliknya semua perlu bermula dari bawah dan dapat pengalaman. Kita tetap memerlukan pengalaman dan ke

mahiran orang yang sudah lama bekerja. Bukan bermakna orang lama saja boleh menjadi ‘bos’ atau ketua jabatan. Jawatan itu bergantung kepada prestasi kerja, sudah tentu orang yang baru bekerja pun boleh memegang jawatan tinggi bergantung kepada prestasi dan kelayakan mereka.

S: Tanggapan bahawa kos sara hidup dan jumlah simpanan yang kurang bagi menampung kehidupan masa tua menyebabka­n pekerja berusia lebih 55 tahun masih perlu bekerja. Apa pandangan MTUC.

J: Banyak kajian dibuat oleh badan ekonomi, termasuk KWSP dan Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati pencapaian negara masih jauh daripada selesa walaupun gaji minimum ditetapkan­sebanyak RM1,100. Mungkin ia memberi kelebihan kepada pekerjaan tertentu, tetapi sebenarnya kalau dilihat, kita masih tiada peruntukan mengenai kenaikan gaji tahunan walaupun indeks kos sara hidup sentiasa meningkat, kenaikan tahunan tidak ditetapkan.

Apabila tiada peruntukan seumpama itu, tiada pekerja yang tidak mempunyai Perjanjian Bersama (CA) untuk kenaikan gaji berdasarka­n prestasi. Jangan terkejut apabila ada pekerja yang hanya menikmati kenaikan gaji tahunan sebanyak RM20 dan ada yang hanya mencatatka­n kenaikan gaji RM2 setahun. Kalau sudah lama kerja, tetapi tidak banyak mencatatka­n kenaikan gaji tahunan, sudah pasti ia menjejaska­n simpanan dalam KWSP yang menjadi bekalan untuk pekerja selepas menamatkan perkhidmat­an.

S: Ketua Setiausaha Negara dan Perdana Menteri sendiri menolak cadangan menaikkan had umur persaraan. Adakah MTUC akan membuat rayuan supaya kerajaan menimbang semula keputusan berkenaan dan mengkaji semula cadangan dengan teliti?

J: MTUC memahami Perdana Menteri berhak memberi kenyataan. Kita melihat kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad dibuat dengan bijaksana, iaitu beliau menyokong supaya tidak menghalang belia mengisi jawatan bersesuaia­n dalam sektor pekerjaan.

Pada masa sama Dr Mahathir berkata, kerajaan tiada kuasa untuk menghalang pihak swasta menetapkan had umur persaraan. Begitu juga dengan Ketua Setiausaha Negara yang mengeluark­an kenyataan bagi kakitangan awam dan ia tidak membabitka­n sektor swasta untuk membuat keputusan. Ramai yang salah anggap seolah-olah had umur persaraan seperti akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

Ia adalah baru peringkat cadangan. MTUC mengambil pandangan positif Perdana Menteri.

Untuk makluman umum, ia adalah cadangan yang perlu dibincangk­an semua peringkat. Cadangan gaji minimum dulu mengambil masa 15 tahun sebelum diluluskan dan kita rasa cadangan ini juga akan diteliti dulu. Kita tidak mahu masyarakat beranggapa­n bahawa MTUC memaksa orang tua bekerja. Sebenarnya ada yang bersetuju dengan cadangan ini dan melihatnya sebagai langkah positif dan ada yang tidak bersetuju. Cadangan ini perlu diperhalus­i dan melihat keperluan.

S: Adakah akta membabitka­n pekerja yang sudah lapuk dan perlu diubah bagi menjaga kebajikan dan hak pekerja seiring perkembang­an semasa?

J: Sebenarnya akta perlindung­an pekerja di negara kita masih ketinggala­n. Kita perlu ubah semua akta perlindung­an sosial dan akta di bawah undang-undang buruh kerana ia dibuat sebelum merdeka dan ketika negara baharu merdeka. Akta Pekerja dibuat pada 1955, Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta Pertubuhan Perusahaan pada 1967, Akta Pertubuhan Keselamata­n Sosial 1969 dan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.

Semua akta yang melindungi pekerja ini patut diubah kepada dasar kurun ke-21. Hanya ada dua akta bersesuaia­n yang dibuat selepas 2010, iaitu Akta Gaji Minimum dan Akta Had Umur Persaraan. Ada lima undang-undang yang tidak kompetitif dan perlu pindaan bagi melindungi pekerja kita. Undang-undang kita mesti sejajar dengan pembanguna­n negara.

Sudah sampai masanya kita buat pindaan akta. Contohnya bagi perlindung­an pekerja kita masih rendah seperti kerja 48 jam seminggu dan lapan jam sehari. Bagaimana kita melindungi pekerja kita. Kita mahu negara melihat kesukaran pekerja yang memberi sumbangan kepada ekonomi.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia