Berita Harian

Setiausaha politik Anwar Ibrahim, orang dikehendak­i polis

Polis usaha kesan Farhash untuk lengkap siasatan, hantar laporan kepada DPP

- Oleh Nor Azizah Mokhtar bhnews@bharian.com.my

Kuala Lumpur: Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador, kini diklafikas­ikan sebagai individu dikehendak­i polis kerana menghilang­kan diri daripada membantu siasatan berhubung kejadian serangan di sebuah Kompleks Sukan di Ampang, 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara , Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata usaha mengesan Farhash masih dijalankan walaupun mangsa dalam kes itu sudah menarik balik laporan polis yang dibuat.

“Kita mahu merakam percakapan dia (Farhash) untuk melengkapk­an siasatan dan hantar kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutny­a, sama ada mahu NFA (tiada tindakan lanjut) atau sebaliknya.

“Kita juga akan panggil pengadu (mangsa) untuk dirakam percakapan­nya. Bagaimanap­un, buat masa ini, kita masih cuba mengesan Farhash,” katanya selepas lawatan kerja Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar ke Unit Tindakan Khas (UTK), di sini, semalam.

Farhash, 37, yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah suspek utama kes serangan ke atas seorang jurulatih tinju di Kompleks Sukan Arena, di Taman Dagang Permai, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan kelmarin, berkata, Farhash masih gagal dikesan dan diarah segera tampil bagi membantu siasatan.

“Kita sudah membuat lima tangkapan membabitka­n lima lelaki berusia antara 22 hingga 38 tahun dipercayai terbabit dalam insiden serangan berkenaan.

“Mereka terbabit dalam bidang kejurulati­han tinju ‘Muay Thai’ dan direman bagi membantu siasatan,” katanya.

Fadzil berkata, empat suspek dibebaskan kelmarin dengan jaminan polis, manakala seorang lagi suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, selepas didapati mempunyai rekod dikehendak­i polis berhubung kes dadah.

Dalam perkembang­an lain, Abdul Hamid berkata usaha membawa pulang balu anggota Daesh dari Malaysia yang terbunuh di Syria, Muhammad Wanndy Mohd Jedi, mengambil sedikit masa berikutan beberapa kesulitan melepasi sempadan negara itu.

Katanya, usaha membawa pulang Nor Mahmudah Ahmad bersama seorang anaknya dan lebih 30 rakyat Malaysia yang berkait kegiatan pengganas di negara berkenaan, sedang dijalankan dengan bantuan ejen perisikan asing.

Mengenai siasatan gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, Abdul Hamid berkata sehingga ini polis belum menemui petunjuk perbuatan sabotaj.

Abdul Hamid juga berkata PDRM meminta kerajaan mengkaji semula elaun khas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) supaya setimpal dengan tugas dan risiko yang dihadapi.

Katanya, permohonan untuk kenaikan elaun khas UTK sudah pun dikemukaka­n oleh pucuk pimpinan PDRM sejak 2014.

“Pada 2014, permohonan kenaikan elaun khas pasukan itu sudah diangkat untuk dikaji semula, malangnya tiada sebarang perkembang­an sehingga kini.

“Elaun khas sedia ada yang diterima kini mengikut tempoh tahun bertugas adalah antara RM600 hingga RM950,” katanya.

 ??  ??
 ?? (Foto Azhar Ramli/bh) ?? Abdul Hamid memberi penerangan kepada Ismail mengenai senjata jenis Barret.50 Caliber M107 pada lawatannya ke UTK di Lapang Sasar PGA Cheras, Kuala Lumpur, semalam
(Foto Azhar Ramli/bh) Abdul Hamid memberi penerangan kepada Ismail mengenai senjata jenis Barret.50 Caliber M107 pada lawatannya ke UTK di Lapang Sasar PGA Cheras, Kuala Lumpur, semalam

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia