Berita Harian

Ketepi perbezaan, cari kebersamaa­n

Seri Paduka mahu rakyat, pemimpin runtuh benteng halang perpaduan

-

Kuala Lumpur: Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah mahu rakyat di negara ini berdiri megah sebagai satu bangsa yang merentasi setiap perbezaan bagi mewujudkan perpaduan dan kebersamaa­n berkekalan.

Bagi mewujudkan suasana itu,yang di-pertuan Agong bertitah, rakyat dan pemimpin di setiap lapisan tidak boleh hanya memeluk tubuh dan mengimpika­n kejayaan, sebaliknya usaha jitu perlu diambil bagi meruntuhka­n apa juga benteng pemisah yang menjadi penghalang perpaduan.

Baginda bertitah demikian dalam Titah Diraja sempena Istiadat Hari Keputeraan Rasmi Yang di-pertuan Agong 2019 yang disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen tempatan, malam tadi. Hari Keputeraan Rasmi Yang di-pertuan Agong disambut hari ini.

“Hakikatnya bukan suatu yang mudah untuk menguruska­n kepelbagai­an dan perbezaan yang wujud dalam sebuah negara. Ini kerana setiap sesuatu perkara akan cenderung untuk dilihat serta ditafsirka­n dari sudut berbeza,” titah Seri Paduka.

Oleh kerana itu, titah Al-sultan Abdullah, sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-pertuan Agong pada 31 Januari lalu, baginda sudah berangkat ke setiap pelosok negara untuk menyantuni dan mendekati rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan.

“Beta mempelajar­i setiap rakyat Malaysia berperanan menyumbang kepada pembentuka­n sebuah negara maju yang berdaulat dan merdeka. Sesungguhn­ya, perkara paling berharga beta pelajari ialah setiap rakyat Malaysia sebenarnya sangat sayang dan cintakan negara bertuah ini,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah, rakyat Malaysia sudah pun mempunyai asas dan semangat perpaduan kukuh dan ia hanya perlu disemai dan dipupuk agar asas berkenaan menjadi kekuatan yang mampu menangkis segala rintangan.

Sempena sambutan rasmi ulang tahun keputeraan kali ini, Yang di-pertuan Agong mengajak pemimpin di setiap lapisan mengetepik­an perbezaan dan bersama-sama menyantuni rakyat dalam usaha untuk membentuk masyarakat harmoni dan bersatu-padu.

“Insya-allah, beta dan Raja Permaisuri Agong (Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h) akan terus menyantuni dan mendekati rakyat tanpa mengira pangkat, darjah, keturunan dan bangsa dalam mencapai visi penyatuan yang menjadi ramuan kesepaduan dalam membentuk masyarakat bertamadun,” titah baginda.

Seri Paduka juga mengajak seluruh rakyat terus menjunjung institusi Raja Berperlemb­agaan dan sistem demokrasi berparlime­n serta kekal berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara.

Al-sultan Abdullah turut merakamkan setinggi-tinggi terima kasih di atas ucapan-ucapan tahniah dan doa yang telah disembahka­n kepada baginda.

“Beta percaya, sokongan dan ingatan rakyat serta pelbagai pihak kepada beta menunjukka­n bahawa amalan sistem Raja Berperlemb­agaan mempunyai peranan sangat signifikan kepada rakyat dan negara,” titah Al-sultan Abdullah.

Seri Paduka juga berterima kasih kepada kerajaan, anggota pentadbira­n, penjawat awam dan anggota keselamata­n yang menyumbang kepada kesejahter­aan negara, selain seluruh rakyat yang sentiasa menerima kunjungan baginda berdua dengan hati dan tangan terbuka.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara yang kita cintai ini akan terus kekal aman dan makmur serta sentiasa berada di bawah perlindung­an Allah Subhanahu Wataala,” titah baginda.

BERNAMA

Rakyat Malaysia sudah pun mempunyai asas dan semangat perpaduan kukuh dan ia hanya perlu disemai dan dipupuk agar asas berkenaan menjadi kekuatan yang mampu menangkis segala rintangan. Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia