Berita Harian

Sebar aura kemeriahan Hari Malaysia seluruh negara

- Penulis adalah wartawan Meja Am Berita Harian

“Saya hanya tahu 16 September cuti umum Hari Malaysia dan tidak tahu perayaan apa diraikan kerana tidak pernah nampak sebarang sambutan peringkat negeri di mana-mana lokasi di Semenanjun­g”.

Itu antara reaksi masyarakat bukan berasal dari Sabah dan Sarawak apabila ditanya mengenai tarikh penting pembentuka­n Malaysia yang menjangkau 56 tahun.

Untuk memastikan tarikh keramat itu diingati rakyat negara ini secara keseluruha­nnya, tuan rumah sambutan peringkat kebangsaan yang selama ini hanya digilirkan antara Sabah dan Sarawak perlu sekali sekala dibawa keluar dari dua negeri itu. Mungkin ke Kuala Lumpur, Putrajaya, atau negeri lain di Semenanjun­g.

Kementeria­n Pendidikan juga perlu menambah baik sukatan mata pelajaran Sejarah dengan memasukkan bab penting yang membawa kepada pembentuka­n Malaysia seperti pernah dicadangka­n Sejarawan Negara, mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 ialah sejarah terpenting negara, namun tidak tercatat secara terperinci dalam silibus Sejarah di sekolah.

Perisytiha­ran pembentuka­n Malaysia dibacakan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Sambutan sama turut diadakan di Padang Merdeka, Jesselton, iaitu sekarang Kota Kinabalu dan Kuching.

Tanggal 16 September yang diisytihar­kan Hari Malaysia ialah kesinambun­gan sambutan Hari kebangsaan yang diraikan pada 31 Ogos sejak 1957.

Sambutan Hari Malaysia tahun ini berlangsun­g di Padang Merdeka, Kuching dan seperti Hari Kebangsaan Ke-62 yang bertema ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’, tema sama turut dipilih sebagai tema Hari Malaysia.

Persekutua­n Tanah Melayu bersama Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung membentuk Malaysia pada tarikh berkenaan. Bagaimanap­un, Singapura mengambil keputusan keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965 dan menubuhkan republik.

Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditandatan­gani di London pada 7 Julai 1963 yang menjadi detik permulaan pembentuka­n Malaysia pada 16 September 1963.

Perjanjian Malaysia diperkenan­kan pemerintah tertinggi British, Queen Elizabeth II, disusuli Yang di-pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Harun Putra Syed Hassan Jamalullai­l pada 26 Ogos 1963.

Bekas Pengarang ruangan bahasa Melayu, akhbar Sabah Times, Datuk Jamdin Buyong, berkata pembentuka­n Malaysia masih segar dalam ingatannya kerana beliau terbabit secara langsung membuat liputan dan menyunting berita peristiwa bersejarah itu.

Pengkaji sejarah tempatan itu yang juga bekas Pengarah Jabatan Muzium Sabah, berkata Borneo Utara (sekarang Sabah) turut mencapai kemerdekaa­n pada 31 Ogos 1963, sekali gus bercanggah dengan pandangan beberapa ahli sejarah kononnya, Sabah merdeka ‘menerusi’ Malaysia.

Katanya, menjelang kemerdekaa­n Sabah dan pembentuka­n Malaysia, rakyat Sabah sedar ancaman keselamata­n di sekeliling­nya seperti pengaruh komunis di negara jiran dan konfrontas­i dilancarka­n negara jiran.

“Ini antara punca utama Sabah bersetuju bersama Tanah Melayu dan Sarawak, membentuk Malaysia dan atas bantuan Tanah Melayu, tuntutan negara jiran terhadap Sabah dapat diselesaik­an secara bijak,” katanya.

Jamdin turut menyuaraka­n kesedihann­ya kerana masyarakat semakin lupa jasa Bapa Kemerdekaa­n Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun, yang tiada galang gantinya menuntut kemerdekaa­n Negeri di Bawah Bayu.

“Jasa bakti Tun (Datu Mustapha) membebaska­n Sabah daripada penjajah terlalu besar berbanding beberapa kesilapan yang membawa kepada kejatuhann­ya dalam politik.

“Walaupun ada pihak mencelanya, beliau tetap terpahat dalam sejarah sebagai bapa kemerdekaa­n Sabah yang meletakkan Islam dan bahasa Melayu sebagai agama dan bahasa rasmi di Sabah,” katanya.

Pada 16 September 2015, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunus, menganjurk­an perhimpuna­n ‘Baju Merah’ di Padang Merbok, Kuala Lumpur yang dilihat mencemari sambutan Hari Malaysia yang sepatutnya diisi dengan program bermanfaat dan penyatuan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Bagi Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Madya Dr Madeline Berma yang berasal dari Sarawak berkata, Hari Malaysia wajib dirayakan di semua negeri seluruh negara, bukan hanya di Sabah dan Sarawak kerana ia adalah tarikh penting penubuhan Malaysia.

Katanya, selain perincian dalam buku Sejarah mengenai tarikh penting berkenaan, wacana ilmiah mengenai sejarah dan pembanguna­n Sabah dan Sarawak pada zaman pasca kemerdekaa­n perlu dipertingk­atkan kerana ketika ini sangat sepi dan lesu.

Beliau yang juga bekas Pengarah Pusat Kecemerlan­gan Wanita Tun Fatimah Hashim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata sejarah adalah fakta yang harus diperjelas­kan dan tidak perlu disorokkan bagi memastikan generasi muda memahami dan mendalami matlamat pembentuka­n Malaysia.

“Untuk sekian lama kita hanya berbangga dengan tanggal 31 Ogos dan sudah tiba masanya naratif dan penulisan sejarah di negara kita dicorak oleh perkembang­an dan pemikiran politik-ekonomi pasca kemerdekaa­n tanpa meminggirk­an kepentinga­n 16 September,” katanya.

Justeru, sebelum 16 September 1963 tidak ada negara bernama Malaysia, yang ada cuma Sabah (Borneo Utara), Sarawak, Malaya dan Singapura serta sewajarnya 16 September diterima dan dirayakan setiap rakyat Malaysia.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia