Berita Harian

‘Rakyat benteng tolak politik perkauman ekstrem’

-

Membakut: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah mahu rakyat terus menjadi benteng dalam menolak sebarang tindakan atau pendekatan yang membawa unsur politik perkauman ekstrem di negeri itu.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor, berkata pihaknya kesal kerana ada pihak di luar Sabah cuba mencetuska­n politik perkauman ekstrem.

“Kita kesal apabila baru-baru ini pihak di luar Sabah cenderung mengapi-apikan politik perkauman yang melampau.

“Faktor kaum dijadikan modal politik untuk membangkit­kan kemarahan rakyat, sekali gus mengharapk­an pulangan dalam bentuk sokongan politik.

“Tidak ada salahnya menjaga kepentinga­n kaum masing-masing, namun apa yang merisaukan jika setiap perkara dijadikan isu politik perkauman sehingga boleh menggugat perpaduan rakyat,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Pimpinan BERSATU Sabah ke bahagian Kimanis, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Masidi Manjun; Ketua Bahagian BERSATU Kimanis, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun dan Ketua Armada BERSATU Sabah, Mohd Isquzawan Israq Arsit.

Pada majlis itu, Hajiji turut menerima borang keahlian menyertai BERSATU daripada ahli di Kimanis dan Membakut.

Beliau berkata, BERSATU Sabah perlu ‘mengekspor­t’ keharmonia­n kaum yang wujud di negeri itu sebagai teladan kepada pihak luar dan bukan membawa masuk politik perkauman ekstrem.

Hajiji berkata, parti itu bersedia bertanding jika Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di Kimanis.

“Jika PRK diadakan di Kimanis, BERSATU harus bersedia. Kita ada hasrat bertanding di Kimanis bagi mencapai matlamat menjadi parti dominan di sini.

“Siapa pun calon yang dipilih pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH), BERSATU Sabah sedia untuk membantu. Siapa pun yang dipilih, kita harus akur.

“Perjuangan BERSATU Sabah adalah untuk membela nasib rakyat di negeri ini terutamany­a Bumiputera dan pribumi selain menjaga hak kaum yang lain,” katanya.

Di Kota Marudu, ahli Srikandi BERSATU Sabah diingatkan supaya terus bekerja keras dalam meraih sokongan rakyat, sekali gus menolak tepi berasa selesa dengan pencapaian sedia ada.

Penolong Setiausaha Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Redonah Bahanda, berkata BERSATU baru menjadi kerajaan dan perlu bersaing dengan gerakan pembangkan­g di luar sana.

“Setiap gerak kerja perlu dilaksana secara komited dan konsisten kerana apa yang membimbang­kan ialah perubahan dari segi pola serta kecenderun­gan pemikiran rakyat yang menjurus kepada budaya politik kebencian,” katanya.

 ?? (FOTO RAFIQAH DAHALI/BH) ?? Hajiji disambut meriah pada program Jelajah Pimpinan BERSATU Sabah ke bahagian Kimanis, Membakut, semalam.
(FOTO RAFIQAH DAHALI/BH) Hajiji disambut meriah pada program Jelajah Pimpinan BERSATU Sabah ke bahagian Kimanis, Membakut, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia