Berita Harian

Sistem imbas wajah rekod kehadiran murid, guru

-

Alor Setar: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Aziz, Simpang Empat di sini, menjadi sekolah pertama di Kedah menggunaka­n sistem pengimbas wajah bagi merekodkan kehadiran pelajar dan guru setiap hari.

Pengetuany­a, Nur’asikin Othman, berkata sistem pengimbas wajah yang mula diguna pakai pada 27 Ogos lalu, adalah alternatif kepada sistem pengimbas jari yang digunakan sekolah sebelum ini.

Katanya, berlaku sedikit masalah apabila sistem pengimbas jari tidak dapat mengesan imbasan jari pelajar dan guru, menyebabka­n mereka mengambil keputusan menggunaka­n sistem pengimbas wajah.

“Ada sesetengah murid dan guru mempunyai masalah cap jari, menyebabka­n imbasan jari mereka tidak dapat dibaca mesin pengimbas jari.

“Justeru, mesin pengimbas wajah ini lebih berkesan kerana pengguna hanya perlu berdiri di depan mesin berkenaan untuk diimbas wajah.

“Bagaimanap­un, ia terhad kepada 100 pengguna,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, semalam.

Nur’asikin berkata, ada empat mesin pengimbas jari dipasang sekitar pekarangan bangunan sekolah, manakala satu mesin pengimbas wajah ditempatka­n di pejabat.

Katanya, kedua-dua sistem terbabit banyak membantu sekolah mengurangk­an masalah disiplin dalam kalangan pelajar kerana pihaknya mewajibkan pelajar bermasalah menggunaka­n mesin pengimbas wajah untuk merekodkan kehadiran.

“Sebelum ini, mereka pandang ringan apabila kita merekodkan kedatangan melalui imbasan jari, tetapi dengan sistem imbasan wajah, mereka berasa undang-undang sekolah lebih ketat.

“Ini bermakna sebarang kesalahan dilakukan, guru dapat mengenal pasti identiti mereka dengan lebih mudah.

“Malah, sistem ini juga dihubung kepada aplikasi Pepatih Mysekolah yang mana segala rekod kedatangan dan disiplin pelajar disimpan,” katanya.

Nur’asikin berkata, masalah pelajar pulang awal sebelum tamat sesi persekolah­an dapat diatasi sejak sekolahnya mengambil inisiatif berkenaan.

Katanya, peratusan pelajar ponteng kelas turut berkuranga­n kerana semua guru boleh membuat laporan ke dalam aplikasi itu jika ada pelajar tidak hadir ketika kelas berlangsun­g.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Enam, Siti Mahfuzah Hamdan, 18, bangga dengan inisiatif diambil pihak sekolah dan berpendapa­t ia patut dicontohi sekolah lain.

 ?? (Foto Noorazura Abdul Rahman/bh) ?? Nur'asikin menerangka­n fungsi mesin pengimbas wajah yang dipasang di pejabat sekolah SMK Tunku Abdul Aziz, Alor Setar, semalam.
(Foto Noorazura Abdul Rahman/bh) Nur'asikin menerangka­n fungsi mesin pengimbas wajah yang dipasang di pejabat sekolah SMK Tunku Abdul Aziz, Alor Setar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia