Berita Harian

KASIH hospital, klinik wakaf pertama di Malaysia

Dr Mohd Zaqrul dibantu 30 doktor sokongan sedia rawatan bukan berasas untung

- Oleh Nurhayati Abllah nurhayatia­bllah@bh.com.my

Bukan semua perniagaan dijalankan hanya berlandask­an untung rugi semata-mata, tetapi masih ada segelintir individu yang menjadikan perniagaan sebagai platform untuk membantu masyarakat, terutama golongan yang memerlukan.

Nadi Biz kali ini mengetenga­hkan seorang usahawan yang mengilhamk­an hospital dan klinik berkonsepk­an wakaf pertama di negara ini dengan menawarkan rawatan dan bekalan perubatan percuma kepada golongan asnaf serta mengenakan pembayaran minimum bagi mereka yang kurang berkemampu­an tanpa mengira agama, bangsa dan warganegar­a.

Pengalaman 17 tahun berkhidmat sebagai doktor dan pakar pediatrik menguatkan semangat Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi, 42 tahun untuk menjadikan hospital dan klinik berkenaan sebagai medium untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Menerusi syarikat KASIH Holdings Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat perkhidmat­an kemudahan perubatan swasta, Dr Mohd Zaqrul Razmal yang juga pengasas dan pengarah eksekutif syarikat berkenaan mempraktik­kan sepenuhnya kepakaran yang ada dan menjadikan pusat perubatan itu sebagai satu entiti berlandask­an patuh syariah dan bebas riba.

“Saya memulakan kerjaya sebagai doktor bermula 2002 dan sejak dari dahulu hingga sekarang saya melihat kos perubatan sentiasa meningkat sehingga membebanka­n mereka yang susah.

“Menerusi pengalaman menyertai banyak misi kemanusiaa­n di luar negara turut mengajar saya mengenai kepayahan golongan sedemikian untuk mendapatka­n rawatan sempurna.

“Daripada situ, timbul hasrat untuk berbuat sesuatu dalam menangani masalah kesihatan orang ramai dengan menawarkan perubatan percuma menerusi konsep wakaf dan mengenakan bayaran minimum bagi mereka,” katanya ketika ditemui di Cyberjaya, baru-baru ini.

Berbekalka­n modal simpanan sendiri sebanyak RM1 juta dan pinjaman bank RM14 juta untuk membeli sebuah bangunan, beliau mewujudkan Hospital Pakar Wanita & Kanak-kanak KASIH Putrajaya dan Klinik Pakar Berpusat KASIH Cyberjaya yang menawarkan rawatan perubatan bagi wanita dan kanak-kanak.

Hospital Pakar Wanita & Kanak-kanak KASIH Putrajaya kini dalam proses pengubahsu­aian dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Antara perkhidmat­an yang disediakan di pusat perubatan berkenaan ialah pakar pediatrik, pakar obstetrik & ginekologi, pakar ortopedik, pakar perubatan keluarga, pakar radiologi, pakar kesuburan dan pakar pergigian.

Pada awal operasi, KASIH Holdings hanya dikendalik­an dua pekerja, termasuk Dr Mohd Zaqrul Razmal, tetapi sehingga kini meningkat kepada 10 pekerja dan dibantu kira-kira 30 doktor sokongan sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya yang memiliki pelbagai kepakaran.

Kos operasi bagi hospital dan klinik berkenaan ditanggung menggunaka­n konsep wakaf, zakat dan pemberian derma daripada pelbagai pihak.

“Ramai dalam kalangan doktor dan kakitangan yang bekerja di hospital serta klinik ini berkhidmat menerusi konsep ‘amal kebajikan’ dan bersedekah tanpa mengira wang ringgit serta tenaga mereka.

“Tanpa mengira soal penat lelah, kami saling bekerjasam­a dan komited untuk meneruskan usaha membantu golongan memerlukan,” katanya.

Namun, sinonim dengan konsep wakaf, sedekah atau derma, ia bukan sesuatu yang mudah untuk meyakinkan masyarakat mengenai ‘usaha murni’ itu, apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan perniagaan.

“Sebagai pengamal perubatan, saya lebih mementingk­an keselamata­n dan kesihatan pesakit, namun jika ia membabitka­n perniagaan orang akan lebih berfikir mengenai untung dan rugi. Saya sering menerima pertanyaan sama ada setiap ‘pelaburan’ yang diberikan mampu menjana keuntungan atau sebaliknya.

“Sedangkan tanggapan itu perlu diubah. Masih ramai yang tidak sedar mengenai kekuatan dan keupayaan wakaf.

“Sebenarnya, menerusi wakaf dan zakat jika diurus tadbir dengan terancang serta sistematik dapat membantu mengeluark­an rakyat di negara ini daripada belenggu kesusahan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, KASIH Holdings dijangka akan bekerjasam­a dengan beberapa majlis agama Islam negeri untuk membuka cawangan hospital dan klinik KASIH.

“Antaranya Johor, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Kami juga kini pada peringkat perbincang­an akhir dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan untuk membuka cawangan KASIH, menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Dalam usaha pencarian dana, beliau berkata, pihaknya turut mewujudkan Tabung KASIH (www.tabungkasi­h.com) bagi membangunk­an hospital dan klinik mampu biaya berkonsep serta berasaskan wakaf, infak, zakat dan sumbangan tetap (endowment).

“Ia adalah inisiatif swasta yang bekerjasam­a dengan badan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi manfaat masyarakat dan nasional,” katanya.

 ?? (Foto Ahmad Irham Mohd Noor/bh) ?? Dr Mohd Zaqrul Razmal bersama kakitangan di hadapan Klinik Pakar Wanita dan Kanak-kanak KASIH Cyberjaya.
(Foto Ahmad Irham Mohd Noor/bh) Dr Mohd Zaqrul Razmal bersama kakitangan di hadapan Klinik Pakar Wanita dan Kanak-kanak KASIH Cyberjaya.
 ??  ?? Bilik rawatan Hospital Kasih Cyberjaya.
Bilik rawatan Hospital Kasih Cyberjaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia