Berita Harian

5 individu termasuk menteri dipanggil

-

Kuala Lumpur: Polis akan memanggil lima individu termasuk Menteri Sumber Manusia, M Kulasegara­n untuk dirakam percakapan minggu depan susulan laporan polis oleh penceramah bebas, Dr Zakir Naik yang mendakwa mereka memfitnahn­ya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata notis pemberitah­uan untuk mereka hadir ke Bukit Aman sudah pun diserahkan sejak minggu lalu.

“Kita akan pastikan semua mereka hadir untuk direkod percakapan minggu depan.

“Ini bagi membolehka­n kita melengkapk­an kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutny­a,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada majlis Lawatan Kerja Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar ke Unit Tindakan Khas (UTK) di Lapang Sasar Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, di sini, semalam.

Pada 16 Ogos lalu, Zakir membuat laporan polis terhadap Kulasegara­n serta Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan bekas duta Malaysia, Datuk Dennis Ignatius kerana didakwa memfitnahn­ya.

Zakir mendakwa fitnah itu berdasarka­n kenyataan dalam ceramahnya di Kota Bharu, 3 Ogos lalu.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Komuniti Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Zakir mendakwa, laporan itu dibuat bagi meminta polis menyiasat semua individu terbabit mengikut Akta Hasutan 1948 atau mana-mana akta berkaitan fitnah yang dibuat terhadapny­a.

Dalam pada itu, Huzir berkata, dua kertas siasatan terhadap Zakir yang disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteram­an awam sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara. Siasatan ke atas Zakir dijalankan susulan laporan beberapa pihak berhubung kenyataan kontrovers­inya mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia dalam ceramahnya di Kota Bharu pada 3 Ogos lalu itu.

Pada 16 dan 19 Ogos lalu, Zakir hadir ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di sini, untuk direkod percakapan berhubung perkara itu.

Zakir kini tidak dibenarkan mengadakan sebarang ceramah di negara ini.

 ??  ?? Huzir Mohamed
Huzir Mohamed
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia