Berita Harian

Bau hangit selamat nyawa

Bas ekspres terbakar ketika berhenti rehat di R&R Kuala Kangsar

- Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri bhnews@bh.com.my

Kuala Kangsar: Penumpang dan pemandu sebuah bas ekspres dua tingkat terselamat dalam kebakaran kenderaan itu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kuala Kangsar, Lebuh Raya Utara-selatan (PLUS) arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, 12 penumpang dan dua pemandu bas terbabit berjaya keluar dari kenderaan yang difahamkan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah itu selepas berhenti di R&R dipercayai kerana terhidu bau hangit dari bahagian enjin.

Seorang penumpang terbabit, Nur Syakila Abd Malik, 21, mendakwa beliau sudah terhidu bau hangit sejak bas itu menuruni Terowong Menora lagi, namun tidak mengesyaki apa-apa.

“Saya tidur semula sebelum dikejutkan penumpang yang meminta turun dari bas kerana berlaku kebakaran. Selepas keluar dari bas, saya melihat api kecil dan asap di bahagian belakang bas.

“Pemandu bas kemudian cuba memadamkan kebakaran itu menggunaka­n alat pemadam api yang ada di dalam bas dan alat pemadam api milik PLUS,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Nur Syakila berkata, sebaik saja api kecil itu berjaya dipadamkan, pemandu cuba mengeluark­an beg penumpang yang disimpan di ruangan bawah sebelum api kembali marak.

“Hanya barang disimpan di bahagian bawah terselamat, sementara barang yang diletakkan di atas bas, termasuk beg duit saya gagal diselamatk­an kerana tidak berani naik semula untuk mengambiln­ya.

“Namun, saya bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku terhadap saya dan semua penumpang bas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, berkata bas terbabit musnah sepenuhnya dalam kebakaran berkenaan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

“Bas itu dinaiki 12 penumpang dan dua pemandunya. Kesemua mereka berjaya keluar dengan selamat sebelum api merebak. Pihak bomba, PLUS dan PROPEL (Projek Penyelengg­araan Lebuh Raya Berhad) turut membantu di lokasi kejadian,” katanya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pula berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dengan dibantu BBP Meru Raya bergegas ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasan diterima pada jam 1.57 tengah hari.

Beliau berkata, bas terbabit musnah 90 peratus sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada jam 3.48 petang.

 ?? (Foto Ihsan bomba) ?? Anggota bomba memadam kebakaran bas dua tingkat di Hentian R&R Kuala Kangsar, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, semalam.
(Foto Ihsan bomba) Anggota bomba memadam kebakaran bas dua tingkat di Hentian R&R Kuala Kangsar, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia