Berita Harian

JAIS tubuh pusat pemuliaan al-quran

Langkah pastikan ayat, kitab suci terpelihar­a elak dibuang merata tempat

- Oleh Norsyazwan­i Nasri bhnews@bh.com.my

Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) mewujudkan Pusat Pemuliaan Bahan dan Teks Mengandung­i Ayat Suci al-quran bagi memelihara dan memuliakan kitab suci itu.

Pengarahny­a, Khalidi Ibrahim, berkata setakat ini tiga pusat itu diwujudkan di Sarawak, iaitu bersebelah­an masjid As-syakirin Bintulu, masjid Darul Hana Kuching dan yang terbaru di Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan.

“Kita tidak mahu ayat al-quran bersepah di sana sini, dibuang ke dalam tong sampah, menjadi pembungkus makanan dan sebagainya.

“Penubuhan pusat ini adalah antara langkah diambil untuk memelihara dan memuliakan kitab suci al-quran agar tidak dibuang sesuka hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis kesyukuran dan pelancaran Pusat Pemuliaan Bahan dan Teks Mengandung­i Ayat Suci al-quran di Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan di sini, kelmarin.

Khalidi berkata, pembinaan mesin bagi tujuan pelupusan itu adalah inisiatif JAIS bersama Masjid Al-muttaqin Bahagian Samarahan.

“JAIS membiayai pembelian mesin pemuliaan al-quran ini dari Johor Bahru pada harga RM49,000.

“Selain al-quran, masyarakat Islam di sekitar Serian dan Samarahan boleh menghantar kad undangan majlis perkahwina­n yang mengandung­i ayat suci al-quran untuk dilupuskan di sini,” katanya.

Beliau berkata, JAIS membuat garis panduan mengenai cara melupuskan al-quran bagi menjaga kemuliaan kitab suci itu yang mana selepas dibakar, debunya perlu dihantar ke laut.

“Ia juga boleh ditanam dalam tanah yang tidak dilalui atau dipijak orang ramai,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia