Berita Harian

Pemilik boleh kena tindakan jika tak ikut spesifikas­i

-

Kuala Lumpur: Pemilik motosikal yang gemar mengubah suai kenderaan masing-masing melebihi spesifikas­i piawaian ditetapkan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

Pengarah Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi, berkata pihaknya menyedari kecenderun­gan pemilik motosikal Yamaha Y15ZR atau Ysuku mengubah suai motosikal masing-masing ketika ini.

“Kita tidak akan fokus kepada Ysuku sahaja kerana menerusi operasi penguatkua­saan yang dijalankan setiap hari, apa juga kenderaan bermotor yang didapati diubah suai secara berlebihan akan dikenakan tindakan.

“Sekiranya kita dapati Ysuku itu diubah suai seperti tiada cermin sisi, menukar warna lampu, menukar set penutup motosikal sehingga hilang identiti, saiz rim dan tayar serta nombor pendaftara­n tidak mengikut spesifikas­i, pemilik akan dikenakan tindakan.

“Tindakan keterlalua­n termasuk mengubah suai enjin untuk menambah kelajuan tidak sepatutnya dibuat kerana ia bukan sahaja membahayak­an penunggang, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Ismail berkata, pemilik Ysuku boleh dikenakan kompaun bergantung kepada jenis kesalahan mengikut Kaedah 21 MV (C&U) 1959 untuk kesalahan buang cermin sisi, Kaedah 109 MV (C&U) 1959 untuk pemasangan ekzos menyebabka­n bunyi bising keterlalua­n dan kaedah 96(2)(i) MV (C&U) 1959 bagi kesalahan lampu berwarna.

Bagi kesalahan aksesori tambahan dan saiz rim serta tayar, katanya, mereka dikena tindakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987, iaitu ubah suai bentuk dan peralatan kenderaan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Penguatkua­saan/ Kawalan Lalu Lintas/ Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata motosikal Ysuku berada dalam senarai pemerhatia­n polis berikutan aliran belia kini gemar mengubah suai motosikal itu tanpa mengikut spesifikas­i JPJ.

Beliau berkata, polis tidak teragak-agak menyita motosikal terbabit jika didapati ia melanggar undang-undang jalan raya.

“Sebagai contoh, jika ‘Ysuku’ dijual dengan spesifikas­i kelajuan 110 kilometer sejam (km/j), jangan ubah enjin untuk menunggang sehingga kelajuan lebih 140 km/j, ia melanggar undang-undang jalan raya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia