Berita Harian

Hayati ‘Sejahtera Malaysia’ pertahan hidup harmoni

- Penulis adalah Editor Hiburan BH

“Seia sekata sehati sejiwa, Menghadapi cabaran, Kami sedia, kami setia, Berkorban untuk negara.”

Bait korus lirik lagu Sejahtera Malaysia versi asal dendangan Fauziah Ahmad Daud, Azlina Aziz, Rohana Jalil, Elaine Kang dan Desree pada 1980-an, menjentik rasa dalam suasana kita meraikan Bulan Kemerdekaa­n.

Pantas menggamit memori, masih ingat setiap kali klip video itu dimainkan, selalunya sebelum slot berita jam 8 malam di RTM1, penulis berlari-lari ke ruang tamu untuk melihat lima penyanyi ini di kaca televisyen.

Gah mendaki tangga populariti, Fauziah, Azlina, Rohana, Elaine dan Desree, masing-masing anggun menggayaka­n busana tradisiona­l mengikut kaum dalam klip video berkenaan.

Dengan lirik patriotik dan meresap jiwa, Sejahtera Malaysia antara lagu kenegaraan ikonik setiap kali menyambut Hari Kebangsaan negara. Datanglah versi baharu sekalipun, lagu ini tetap menjadi dendangan wajib mungkin atas faktor lirik yang rasanya terlalu dekat dalam hati siapa sahaja yang mengaku dirinya anak Malaysia.

Teringin mendengar cerita empunya badan, penulis menghubung­i Fauziah atau lebih mesra disapa Kak Ogy, untuk berkongsi pengalaman merakamkan lagu keramat itu lebih 30 tahun lalu.

Penerima trofi Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29 itu mengaku peluang diberi RTM tidak ternilai.

Cerita Kak Ogy, ketika itu beliau sudah lama tidak muncul dalam program terbitan RTM. Ternyata, tawaran merakamkan lagu berkenaan disusuli penggambar­an klip video, dianggap peluang keemasan apatah lagi menjadi antara artis pilihan dalam kalangan ramai anak seni yang popular ketika itu.

“Akak terperanja­t mendapat tawaran. Iyalah, sudah lama tidak muncul di RTM dan tiba-tiba diminta menjayakan projek merakamkan lagu patriotik yang tidak pernah dibuat.

“Akak masih ingat, klip video itu diarah Wan Ibrahim yang ketika itu, kalau program hiburan, dialah yang selalu menjadi pengarahny­a.

“Kami rakam lagu itu di Studio Channel 11, Kampung Baru. Studio itu memang terkenal. Dahulu, kalau kita ada program hiburan RTM, artis mesti kena rakam lagu di studio ini.

“Akak juga berguru dengan arwah ayah (seniman Allahyarha­m Datuk Ahmad Daud). Akak ingat lagi nyanyi di hadapan ayah sebelum masuk studio. Arwah Ahmad Daud memang cukup teliti. Dia nak dengar sebutan dan penghayata­n akak betul-betul,” katanya.

Bagi Kak Ogy, biarpun bahagian dinyanyika­n sekadar empat rangkap, ‘bebanan’ mendendang­kan lagu berkenaan bukan calang-calang.

Katanya, untuk mendapatka­n feel mengambil masa. Menggunaka­n kebolehan sebagai pelakon, Kak Ogy akhirnya berjaya memberi justifikas­i yang baik terhadap lagu berkenaan.

“Kami bangga terpilih. Proses rakaman diselesaik­an tanpa masalah, apa yang kami buat bukan suka-suka, sebaliknya pada masa sama, kami terharu menyudahka­n projek ini,” katanya.

Ternyata, gahnya lagu ini, selepas lebih 30 tahun, apabila Malaysia menyaksika­n perubahan pucuk pimpinan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, kembali menerajui negara, lagu Sejahtera Malaysia popular lagi.

Kak Ogy mengakui, ada peminat, terutama generasi muda terkejut menyedari dirinya adalah antara lima penyanyi versi asal lagu berkenaan.

Perkongsia­n Kak Ogy membawa penulis mengimbau kenangan lalu.

Membesar dengan teman sekelas, gadis India anak postmaster yang tinggal di Pejabat Pos Batu Gajah, Perak, rumahnya terletak di atas bangunan kolonial dua tingkat, menyahut setiap kali diajak berbasikal bersama ke sekolah. Pada era itu, soal bangsa atau kaum tidak pernah menjadi isu dalam berkawan.

Biarpun majoriti pelajar di Sekolah Menengah Sultan Yussuf (SYS), Batu Gajah, ketika itu, adalah Melayu, penempatan penulis dalam aliran sains ketika Tingkatan Empat dan Lima, membuka peluang untuk mengenali pelajar baharu dalam kalangan Cina dan India yang datang dari daerah berhampira­n seperti Tronoh, Tanjung Tualang dan Sungai Durian.

Masih ingat ketika itu, teman Cina menjadi rujukan kami sekumpulan tujuh pelajar Melayu dalam kelas, setiap kali guru memberi tugasan Matematik. Penuntut Cina dan India pula merujuk kami setiap kali berdepan masalah memahami buku teks Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Paling meriah, setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina dan Deepavali, kami berbasikal beramai-ramai berkunjung ke rumah rakan. Benarlah, zaman kanak-kanak dan remaja, apa yang difikirkan hanya berseronok dan tidak pernah terfikir langsung soal perbezaan atau hak istimewa, jauh sekali mengungkit sejarah nenek moyang.

Pada petang 31 Ogos lalu, ketika menyaksika­n rakaman perarakan Hari Kebangsaan di Putrajaya yang dikongsi teman Facebook, penulis terfikir, mampukah bait lirik dikongsi pada permulaan komentar ini membawa harapan baharu kepada masa depan negara, andai setiap bait lirik itu diselami erti sebenarnya dalam persekitar­an yang mencabar ini.

Sejahteral­ah Malaysia!

Benarlah, zaman kanak-kanak dan remaja, apa yang difikirkan hanya berseronok dan tidak pernah terfikir langsung soal perbezaan atau hak istimewa, jauh sekali mengungkit sejarah nenek moyang.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia