Berita Harian

Enam sekolah ditutup

Calon UPSR diberi topeng teruskan peperiksaa­n

- Oleh Mohd Roji Kawi, Muhd Amirul Faiz Ahmad dan Garret Dawum bhnews@bh.com.my

Kuching: Enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di bandar ini, disahkan ditutup, hari ini, susulan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat dalam tempoh 24 jam lalu.

Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Chung Hua Kuching No 1 hingga SJKC Chung Hua No 6, Wong Tiong Hoo, berkata keputusan itu dibuat bagi menjaga kesihatan murid.

Beliau berkata, calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan meneruskan peperiksaa­n, namun diberi topeng mulut dan diingatkan minum lebih banyak air.

Keputusan sama ada sekolah lain di bahagian Kuching dan Sri Aman ditutup atau sebaliknya, akan dilakukan kemudian, berikutan IPU di dua kawasan itu masih mencatat bacaan tahap sangat tidak sihat sehingga jam 5 petang semalam.

Maklumat di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) petang semalam, IPU di Kuching berada pada tahap 245 dan Sri Aman pula pada tahap 249.

Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Azhar Ahmad, berkata merujuk Surat Siaran Kementeria­n Pendidikan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2019 bertarikh 15 Januari lalu, jika bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah dalam kawasan atau daerah terbabit perlu ditutup serta-merta.

Beliau berkata, pengetua dan guru besar perlu memaklumka­n kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhubung langkah penutupan sekolah itu.

“Langkah itu diambil Kementeria­n Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menjamin kesihatan dan keselamata­n murid di sekolah dalam kawasan berjerebu yang dianggap kritikal.

“Bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 100, pihak sekolah perlu menghentik­an semua aktiviti di luar bilik darjah membabitka­n semua murid dan disarankan aktiviti keramaian atau sukan di luar bangunan ditangguhk­an,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Azhar berkata, semua jenis peperiksaa­n termasuk peperiksaa­n awam perlu diteruskan, namun Lembaga Peperiksaa­n (LP) akan menangguhk­an peperiksaa­n kepada tarikh akan ditetapkan jika bacaan IPU mencecah 300.

Sejumlah 40,448 calon menduduki UPSR di negeri ini dengan pihak jabatan sudah mengagihka­n 69,000 topeng kepada 713 sekolah di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah dan Sibu.

Sehingga jam 5 petang semalam, empat Stesen Pengawasan Udara Automatik mencatatka­n tahap udara tidak sihat apabila melebihi IPU 100 iaitu Samarahan (199), Sarikei (160), Institut Latihan Perindustr­ian Miri (114) dan Sibu (132).

Tujuh stesen lagi mencatat bacaan IPU pada tahap sederhana iaitu Mukah (93), Miri (74), Sekolah Kebangsaan Kuala Baram 2 (78), Bintulu (85), Samalaju (79), Kapit (88) dan Limbang (75).

Ketua Sekretaria­t Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Ismail Mahedin pula berkata, sebanyak 40 tompok panas dikesan di negeri ini pagi semalam dengan kebanyakan­nya membabitka­n kebakaran hutan dan belukar.

Beliau berkata, keadaan itu memburukka­n lagi fenomena jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan di wilayah Kalimantan, Indonesia.

“Hari ini (semalam), 646 tompok panas dikesan di wilayah itu, manakala 116 dikesan di Sumatera dan Brunei turut mencatat satu tompok panas,” katanya.

Sementara itu, Fatiha Ayuni Aini, 15, yang dilaporkan hilang bersama tiga ahli keluargany­a selepas memancing di kawasan Pulau Lakei, di sini, Sabtu lalu, berkata keadaan laut berjerebu membataska­n pemandanga­n untuk melihat arah ke pangkalan.

Beliau yang dipercayai hilang bersama bapa tirinya, Manja Yusop, 47; bapa saudaranya, Hadib Adam, 37, dan sepupunya, Azuan Zazul, 26, ditemui selamat oleh bapa saudaranya kira-kira jam 1 pagi semalam.

Semua mereka dikatakan keluar memancing menaiki sebuah bot kayu berbumbung dari Pangkalan Bako pada jam 9.30 pagi.

Di Kuala Lumpur, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, berkata seluruh negara disaran melaksanak­an solat Istisqa bagi memohon hujan dan mengurangk­an jerebu di beberapa kawasan di Malaysia sekarang.

Katanya, JAKIM juga memohon kerjasama Jabatan Agama Islam negeri di seluruh Malaysia meminta semua masjid di bawah pentadbira­n masing-masing melaksanak­an solat Istisqa bagi tujuan sama.

“Berikutan masalah jerebu yang melanda negara kini, JAKIM dihubungi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumka­n bacaan IPU di beberapa kawasan mencecah tahap sangat tidak sihat.

“Keadaan ini ditambah hujan yang kurang menyebabka­n kemarau dan jerebu berpanjang­an.

“Pihak NADMA mengesyork­an JAKIM mengadakan solat sunat Istisqa di masjid bagi memohon hujan dan mengurangk­an masalah jerebu,” katanya.

 ?? (Foto L Manimaran/bh) ?? IPU di Kuching pada tahap 245, semalam.
(Foto L Manimaran/bh) IPU di Kuching pada tahap 245, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia