Berita Harian

Lelaki maut kereta dipandu rempuh tiang elektrik

-

Melaka: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu merempuh tiang elektrik di kiri jalan sehingga menghempap keretanya di Jalan Padang Temu, berhadapan Taman Impian Padang Temu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, Ng Zhi Hiu, 26, maut di tempat kejadian.

Saksi kejadian, Muhammad Hafizi Marwan Mohamad Nazur, 29, berkata dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Telok Emas sebelum melihat bahagian hadapan kereta Toyota Vios dihempap tiang elektrik bersama seorang pemandu lelaki di dalamnya.

“Saya cuba kejutkan mangsa beberapa kali sebelum dia menyahut diikuti darah tersembur daripada mulut dan terus tidak sedarkan diri.

“Pada masa sama, terdapat saksi lain yang menghubung­i pihak berkuasa untuk mendapatka­n bantuan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Abdillah Hamid ketika ditemui berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu bersama lima anggota dikejarkan ke lokasi sebaik sahaja menerima maklumat pada jam 5.15 pagi.

“Sebaik tiba, didapati sebatang tiang elektrik menghempap bahagian depan kereta berkenaan yang di dalamnya terdapat seorang pemandu lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluark­an mangsa sebelum pegawai perubatan Hospital Melaka yang tiba selepas itu mengesahka­n mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Di Sungai Petani, seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh pokok di Jalan Pintasan Semeling, berdekatan Taman Malinja, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi, mangsa, M Saravanan, 34, parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata ketika kejadian mangsa memandu kereta dari arah Semeling menghala ke Bedong.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta berada di lorong kanan itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri bahu jalan.

“Kenderaan itu kemudian merempuh sebatang pokok menyebabka­n mangsa tersepit di dalam keretanya dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

 ?? [Foto Rasul Azli Samad/bh] ?? Keadaan kereta mangsa yang remuk selepas merempuh tiang elektrik di Jalan Padang Temu, Melaka, semalam.
[Foto Rasul Azli Samad/bh] Keadaan kereta mangsa yang remuk selepas merempuh tiang elektrik di Jalan Padang Temu, Melaka, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia