Berita Harian

Kemenangan epik Nadal

Rangkul kejuaraan Terbuka AS kali ke-4

-

New York: Rafael Nadal menyifatka­n kemenangan dramatik ke atas Daniil Medvedev pada aksi final Terbuka Amerika Syarikat (AS), semalam antara aksi paling emosi sepanjang 18 tahun kariernya untuk merangkul gelaran Grand Slam ke-19.

Pemain kidal berusia 33 tahun itu meraih kejuaraan keempat Terbuka AS di gelanggang keras New York, mendahului dua set sebelum menewaskan pemain Russia yang juga pilihan kelima itu 7-5, 6-3, 5-7, 4-6, 6-4 dalam pertarunga­n selama empat jam 50 minit.

“Saya gagal mengawal permainan beberapa ketika, dan cara dia (Medvedev) bangkit melawan serta mengubah rentak perlawanan adalah luar biasa,” kata Nadal.

Nadal yang meletakkan tangan di kepalanya kelihatan beremosi selepas kemenangan epiknya itu, apatah lagi ketika video yang memberi penghormat­an kepada dirinya selaku juara Grand Slam ditayangka­n di Stadium Arthur Ashe.

“Ia menjadi salah satu malam beremosi dalam karier tenis, dengan video, dengan kamu semua,” kata Nadal kepada penonton yang menyorak namanya beberapa kali dalam final yang sengit itu.

“Tiada stadium lain di dunia ini yang bertenaga daripada stadium ini.”

Pemain Sepanyol itu kini kekurangan satu gelaran Grand Slam daripada pemenang terbanyak Roger Federer dan menjadi pemain kedua paling tua muncul juara di New York dalam era moden sejak dilakukan Ken Rosewall yang memenangin­ya pada usia 35 tahun pada 1970.

Nadal menerima hadiah wang tunai AS$3.85 juta (RM15 juta) sekali gus menambah gelaran keempat Terbuka AS yang pernah dimenangi pada 2010, 2013 dan 2017.

“Ia amat penting. Kemenangan ini memiliki banyak makna. Dan cara ia terjadi. Sukar untuk mengawal permainan,” katanya. AFP

 ??  ?? Nadal bergambar dengan trofi kemenangan selepas menewaskan Medvedev dalam aksi final Terbuka Amerika Syarikat di New York.
Nadal bergambar dengan trofi kemenangan selepas menewaskan Medvedev dalam aksi final Terbuka Amerika Syarikat di New York.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia