Berita Harian

Dua penjaja jual telur penyu kena tahan

-

Kuching: Dua penjaja di Pasar Tamu Kubah Ria ditahan oleh penguat kuasa Sarawak Forestry Corporatio­n (SFC) kelmarin, selepas didapati menjual telur penyu.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton, berkata sebanyak 652 biji telur penyu dirampas daripada kedua-dua suspek.

“Suspek pertama berusia 65 tahun ditahan pada jam 9.45 pagi dengan memiliki 214 biji telur penyu, manakala suspek kedua berusia 26 tahun ditahan kira-kira jam 3 petang kerana memiliki 438 biji telur penyu,” katanya pada sidang media, semalam.

Zolkipli berkata, kedua-dua suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Jika sabit kesalahan kerana memburu, membunuh, menyimpan, menjual atau menggunaka­n haiwan yang dilindungi, pesalah boleh dihukum penjara setahun dan denda RM10,000 manakala bagi kes penyu yang dilindungi sepenuhnya di Sarawak, denda maksimum adalah RM50,000 dan penjara lima tahun.

Dalam kes berasingan, Zolkipli berkata, pegawai penguat kuasa SFC dari Pejabat Wilayah Kuching merampas 17 bungkus daging babi hutan di Pasar Bandar Riyal, Kota Samarahan serta menahan seorang lelaki berusia 62 tahun.

Beliau berkata, penjualan daging babi hutan adalah dilarang mengikut Ordinan Perlindung­an Hidupan Liar 1998.

“Jika sabit kesalahan, penjual boleh didenda sehingga RM5,000 manakala pembeli pula boleh didenda sehingga RM2,000.

“Jika menyimpan lebih lima kilogram daging babi hutan, pesalah dianggap mempunyai niat untuk menjualnya dan boleh didenda sehingga RM5,000,” katanya.

Justeru, beliau meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perdaganga­n hidupan liar supaya melaporkan kepada SFC di Kuching (019-8859996, 016-8565564), Sibu (013-8110150, 019-8883561), Bintulu (019-8223449, 019-8332737) atau Miri (019-8224566, 019-8290994).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia