Berita Harian

5 tahun hidu habuk kilang sawit

Debu hitam kotorkan rumah, jejas kesihatan penduduk

- Oleh Muhammad Mustakim Ramli m.mustakim@bh.com.my

Bandar Baharu: Lebih 2,000 penduduk di Kampung Sungai Tengas, di sini mendakwa kehidupan mereka terganggu dengan habuk daripada asap sebuah kilang kelapa sawit, sejak lima tahun lalu.

Mereka mendakwa habuk itu bukan sahaja menyebabka­n kawasan luar dan dalam rumah kotor dengan debu hitam, malah menyebabka­n penduduk kerap mengalami gatal badan terutama kanak-kanak dan warga emas.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Tengas, Mohd Alias Mat Ali, 35, mendakwa kilang itu beroperasi sejak 2007, namun mula mendatangk­an masalah kepada penduduk selepas dua kilang lagi dibuka di kawasan sama.

Katanya, dua kilang itu adalah kilang gentian dan baja, yang kedua-duanya berasaskan kelapa sawit dan beroperasi sejak 2013.

“Ketika awal kilang pertama beroperasi, ada juga masalah seperti pencemaran air tetapi diselesaik­an dengan kadar segera.

“Namun sejak lima tahun kebelakang­an ini, mereka tidak mengendahk­an masalah yang berlaku. Kami tidak pasti sama ada semua kilang ini mempunyai lesen atau hanya satu yang sah manakala selebihnya menumpang,” katanya ketika ditemui, di sini.

Mohd Alias berkata, penduduk tidak menolak pembanguna­n tetapi mengharapk­an kilang itu peka keadaan sekitar berikutan jarak kilang dan perumahan penduduk hanya ratusan meter.

Beliau turut membawa wartawan meninjau kawasan sekitar kilang, tetapi kilang itu tidak beroperasi sejak tiga hari lalu selepas dikatakan mendapat amaran serta diberi notis daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Seorang penduduk, Aziz Ibrahim, 53, berkata walaupun pelbagai aduan dibuat dan tindakan diambil, kilang itu masih beroperasi dan ada ketikanya pada waktu malam.

“Sebelum ini berdebu teruk, kalau pijak lantai hitam tapak kaki. Kain baju di ampaian lagi pun kotor, kalau pakai jadi gatal.

“Ini kebetulan mereka tutup, kalau beroperasi boleh tengok asap kilang macam mana, hitam dan berdebu,” katanya.

Terdahulu, masalah itu mendapat perhatian Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang turun padang bertemu penduduk bersama JAS.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulim-bandar Baharu, berjanji akan membawa perkara berkenaan untuk perhatian Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, dalam tempoh terdekat.

“Pihak kilang sudah diberikan notis oleh JAS untuk memasang penapis habuk bagi menyerap habuk keluar dan kerja memasang itu sedang dijalankan,” katanya ketika bertemu penduduk di Dewan Kampung Sungai Tengas, di sini, petang kelmarin.

 ?? (Foto Sharul Hafizzam/bh) ?? Kilang memproses sawit yang mengakibat­kan pencemaran di Kampung Sungai Tengas.
(Foto Sharul Hafizzam/bh) Kilang memproses sawit yang mengakibat­kan pencemaran di Kampung Sungai Tengas.
 ??  ?? Saifuddin memberi taklimat kepada penduduk mengenai kilang sawit yang mengakibat­kan pencemaran di Dewan Kampung Sungai Tengas.
Saifuddin memberi taklimat kepada penduduk mengenai kilang sawit yang mengakibat­kan pencemaran di Dewan Kampung Sungai Tengas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia