Penasihat biro PPIM didakwa dalang penceroboh­an tanah di Bukit Beruntung

Persatuan baru tahu pembabitan lelaki bergelar Datuk dalam aktiviti haram

Berita Harian - - Muka Depan - Oleh Fahmy A Rosli [email protected]

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengakui, lelaki bergelar Datuk yang dikatakan menaungi kumpulan warga Bangladesh dalam penceroboh­an tanah kerajaan dan persendiri­an di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, adalah penasihat sebuah biro dalam persatuan itu.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, ketika dihubungi Berita Harian (BH) mengesahka­n kedudukan lelaki terbabit dalam persatuan itu tetapi mendakwa pihaknya baru sahaja menerima maklumat mengenai pembabitan­nya dalam penceroboh­an tanah berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada lelaki itu menyalahgu­nakan jawatan dalam PPIM untuk kepentinga­n peribadi atau sebaliknya kerana masih menyiasat tetapi dimaklumka­n Datuk itu sudah lebih 10 tahun terbabit dalam kebun sayur di Bukit Beruntung.

“Dia memang ada keupayaan untuk jadi penasihat (biro dalam PPIM). Mungkin dia buat (ceroboh tanah kerajaan) atas kapasiti peribadi dan itu pun kita tak boleh larang.

“Mengenai salahguna jawatan PPIM, kita pun tak tahu. Apabila timbul isu ini (didedahkan media) baharu kita tahu (ada ahli PPIM terbabit) tetapi jika dia didapati tak betul (terbabit dengan kegiatan itu) dia kena keluar (daripada PPIM) sebab kita tak mahu persatuan jadi huru-hara,” katanya.

Lelaki itu dikatakan bertindak mewakili kumpulan warga Bangladesh terbabit, dalam usaha mempertaha­nkan penceroboh­an berkenaan apabila Pertubuhan Sahabat Hulu Selangor menuntut kawasan yang disewa ahli mereka secara sah daripada pemilik tanah berkenaan dikosongka­n segera.

Susulan naungan diterima mereka, kumpulan warga Bangladesh terbabit yang turut menceroboh tanah milik Pentadbir Tanah dan Galian (PTG) Hulu Selangor dan Menteri Besar Diperbadan­kan (MBI) bersebelah­an kawasan persendiri­an itu, tetap berdegil dan terus bertahan meskipun notis pengosonga­n yang sudah dipasang oleh PTG di situ.

Nadzim berkata, pihaknya sudah memanggil lelaki berkenaan dan beberapa pihak yang terbabit dalam isu itu untuk pertemuan bagi mendapatka­n penjelasan berhubung penceroboh­an terbabit hari ini.

“Apabila dapat maklumat sebenar, barulah kita buat keputusan mengenai tindakan bersesuaia­n yang akan diambil,” katanya sambil mendakwa lelaki itu adalah di antara ahli PPIM yang tidak aktif dalam biro berkenaan.

Nadzim berkata, sejak dua minggu lalu, PPIM melakukan penyusunan dan pelantikan semula jawatan bagi setiap biro dalam persatuan itu tetapi mendakwa langkah terbabit tiada kaitan dengan dakwaan pembabitan lelaki berkenaan dalam penceroboh­an tanah.

“Kita sudah bubarkan semua biro dan akan buat pelantikan baharu. Perkara ini sudah lama dan surat mengenainy­a pun sudah dikeluarka­n dua minggu lalu.

“Penyusunan semula biro ini tiada kena mengena dengan isu datuk ini, sebaliknya kita buat untuk memperbetu­lkan kelemahan,” katanya.

Mengenai salahguna jawatan PPIM, kita pun tak tahu. Apabila timbul isu ini (didedahkan media) baharu kita tahu (ada ahli PPIM terbabit) tetapi jika dia didapati tak betul (terbabit dengan kegiatan itu) dia kena keluar (daripada PPIM).

Nadzim Johan, Ketua Aktivis PPIM

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.