Dron percepat sembur racun, baja

Penggunaan lebih efisien mampu tingkat kuantiti, produktivi­ti pengeluara­n padi

Berita Harian - - Nasional - Oleh Siti Nur Mas Erah Amran dan Noorazura Abdul Rahman [email protected]

Alor Setar: Penggunaan dron kini mampu mempercepa­tkan proses meracun dan membaja sawah seluas 10 hektar, yang sebelum ini mengambil masa tiga hari kepada cuma sehari sahaja.

Pegawai Komunikasi Korporat MADACORP, Mohd Yusuf Ahmad, berkata penggunaan dron bagi melakukan kerja semburan racun dan membaja sudah dilakukan di kawasan sawah seluas 5,000 hektar.

Katanya, ketika ini terdapat 10 dron boleh disewa pesawah pada kadar serendah RM20 bagi setiap 0.29 hektar, yang mampu meningkatk­an kualiti dan produktivi­ti pengeluara­n padi di Kedah dan Perlis.

“Setiap relung (0.29 hektar) hanya mengambil masa 15 minit menyembur racun atau baja. Untuk sawah berkeluasa­n tujuh ke 10 hektar pula, memerlukan masa sehari berbanding tiga hari bagi keluasan sama jika menggunaka­n tenaga manusia.

“Dron ternyata lebih efisien kerana kipas dron membantu memberi pengaliran angin ke bawah yang membuka pokok padi, agar serapan racun lebih cepat ke sampai ke akar, selain pesawah tidak perlu memijak tanaman seperti dilakukan secara manual,” katanya pada Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di sini, semalam, yang dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Yusuf berkata, pihaknya menjangkak­an permintaan terhadap perkhidmat­an semburan dron dijangka terus meningkat setiap musim, berdasarka­n kesedaran petani yang mahu kuantiti dan kualiti padi bertambah.

“Ada juga pesawah yang memiliki kawasan sawah yang luas membeli dron sendiri bagi memudahkan kerja penyembura­n, malah kita sendiri sudah menjual tujuh dron kepada pesawah dan koperasi padi.

“Penggunaan dron kini adalah teknologi baharu yang semakin diterima pesawah, yang terbukti dapat meningkatk­an pendapatan mereka dan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidik­an Padi dan Beras Institut Penyelidik­an dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Asfaliza Ramli, berkata kerjasama antara pesawah dengan agensi berkaitan padi diperlukan bagi memastikan isu serta masalah berkaitan industri pengeluara­n beras dapat diatasi secara bersama.

Katanya, maklum balas pesawah amat diperlukan, bagi agensi terbabit memperbaik­i aspek penyelidik­an dan pembanguna­n (R&D) terhadap sesuatu teknologi yang dihasilkan.

“Industri padi negara mampu berkembang kerana semua kemudahann­ya sudah lengkap merangkumi sistem perairan, teknologi dan varieti padi yang ditanam di setiap jelapang.

“Ini membuktika­n pesawah sebenarnya sentiasa mahu maju dan sentiasa inginkan teknologi terkini, bagi menambah baik tanaman yang diusahakan.

“Bagaimanap­un, kita tidak boleh hanya tunjukkan teknologi dan tinggalkan pesawah, sebaliknya kita perlukan maklum balas mereka untuk merangka ke mana arah R&D selepas ini,” katanya.

(Foto Noorazura Abdul Rahman/bh)

Mohd Yusuf (kanan) dan Pegawai Pemasaran MADA Corp, Mohamad Nawal Suaid menunjukka­n dron yang digunakan ketika Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di Alor Setar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.