Jangan sampai disengat dua kali

Berita Harian - - Komentar - Penulis adalah Penulis Khas BH

“Kami sudah masuk BN (Barisan Nasional), rapat dengan UMNO tetapi UMNO tendang kami. Semasa UMNO cemas dalam 13 Mei (1969), dia (UMNO) cari PAS. Bila gemuk sikit, dia gigit betis PAS.

“Kalau nak berunding dengan UMNO, saya tak setuju, terang-terang saya tak setuju, kalau nak berunding dengan individu UMNO, tak apa.”

Ini penegasan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarha­m Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika diwawancar­a media lebih sedekad lalu, yang boleh ditonton di Youtube.

Menerusi klip video yang ditonton lebih 30,000 kali sejak ia diterbitka­n pada 15 Jun 2008, bekas Menteri Besar Kelantan itu turut mengingatk­an kepemimpin­an dan ahli PAS, supaya mengambil pengajaran daripada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Tidak harus orang yang beriman itu disengat dua kali dari satu lubang.”

Bersandark­an pendirian itu, tidak mustahil wujud keresahan dan kebimbanga­n dalam kalangan akar umbi PAS, terhadap keikhlasan seteru politiknya dalam menjayakan penyatuan ummah pada kali ini.

Ia diakui Pengarah Pusat Penyelidik­an PAS, Prof Dr Zainal Abidin Kidam bahawa rasa sangsi itu mustahil dapat dielakkan, malah tidak mudah untuk ahli dan penyokong PAS melupakan apa yang pemimpin UMNO lakukan terhadap parti itu.

Bagi mengikis rasa sangsi, bukan PAS sebagai pihak yang perlu membuktika­nnya, sebaliknya kepemimpin­an UMNO yang perlu mengambil tanggungja­wab dalam menyatakan keikhlasan, demi menjayakan penyatuan berkenaan.

Keresahan akar umbi itu diakui masih berbaki menjelang pemasyhura­n piagam penyatuan dua parti Melayu Islam, yang bakal dimeterai pada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, Sabtu ini.

Bagi menyempurn­akan penyatuan itu, ia dibincangk­an menerusi jawatankua­sa perunding terdiri daripada jawatankua­sa induk membabitka­n penyertaan 11 pemimpin bagi setiap parti dan jawatankua­sa teknikal masing-masing diwakili lima pemimpin.

Agenda penyatuan ummah pada 14 September ini bakal mengulangi sejarah lebih empat dekad lalu yang dicetuskan Perdana Menteri kedua, Allahyarha­m Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu mahu melihat umat Melayu-islam bersatu dan syiar Islam ditegakkan dalam pemerintah­an negara.

Permuafaka­tan antara UMNO dan PAS, dua parti berpengaru­h dalam kalangan orang Melayu ketika itu adalah bagi menghadapi kempen PRU-4 pada 1974 dan bertanding atas tiket BN dengan menggunaka­n lambang dacing.

“Apabila kita mahu laksana Islam lebih jauh, pergeseran berlaku. Hasilnya PAS ditendang keluar dari BN,” menurut Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang seperti dilaporkan media baru-baru ini, bagi menjelaska­n tindakan BN pada 1978.

Umum mengetahui, meskipun BN memenangi 79 kerusi Parlimen pada PRU-14, pakatan itu yang kini dianggotai UMNO, MCA dan MIC hanya menguasai 40 kerusi selepas wakil rakyatnya keluar parti dan menyertai parti komponen Pakatan Harapan (PH) atau kekal Bebas.

PAS pula memenangi 18 daripada 158 kerusi Parlimen yang ditandingi­nya menerusi kerjasama dengan blok ketiga, Gagasan Sejahtera (GAGASAN).

Berasaskan pendekatan politik identiti, UMNO dan PAS mendakwa kerjasama yang bakal terjalin itu membolehka­n mereka menguasai sekurang-kurangnya 125 kerusi Parlimen pada PRU-15.

Jumlah itu tidak termasuk 12 kerusi Parlimen yang boleh dikuasai dengan margin di bawah 1,000 undi.

Menguar-uarkan kemampuan menguasai sekurang-kurangnya 125 kerusi Parlimen ketika tempoh pentadbira­n Pakatan Harapan (PH) belum melepasi dua tahun, diakui satu strategi walaupun ia sekadar mendabik dada.

Untuk rekod, pada PRU-14, UMNO tewas di lima kerusi Parlimen dengan majoriti bawah 1,000 undi termasuk tewas kepada calon PAS di Parlimen Jerai dengan majoriti 539 undi. Kerusi lain membabitka­n Lumut, Sungai Besar, Kuala Pilah dan Papar, manakala di Tampin, UMNO tewas kepada calon PKR atau secara khususnya calon Parti Amanah Negara (AMANAH) dengan majoriti 1,002 undi.

UMNO mengekalka­n penguasaan di lapan kerusi Parlimen dengan majoriti bawah 1,000 undi. Ia membabitka­n kerusi Jasin, Pontian, Tasek Gelugor, Kuala Kangsar, Bagan Serai, Kimanis, Libaran dan Sipitang. Bagaimanap­un lima wakil rakyatnya keluar parti untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Bebas.

Suka atau tidak, penyatuan UMNO-PAS sudah tentu akan mengubah landskap politik di Malaysia apatah lagi pada PRU-15. Namun, pimpinan PH melihat kerjasama dalam mengukuhka­n kekuatan akar umbi UMNO dan PAS bagi menumbangk­an kerajaan bukan satu ancaman besar kepada mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.