Siasat kapal terkandas rosakkan batu karang

Insiden dipercayai turut jejas lokasi tumpuan penyu

Berita Harian - - Nasional - Oleh Suzianah Jiffar dan Olivia Miwil [email protected]

Kota Kinabalu: Insiden kapal kargo terkandas di perairan cetek dekat Pulau Kalampunia­n Kecil, di sini, Ahad lalu, yang merosakkan batu karang dan lokasi penyu mencari makan di kawasan itu, masih dalam siasatan.

Pengarah Taman-taman Sabah, Jamili Nais, berkata setakat ini, belum ada apa-apa maklumat boleh diberikan kerana ia masih dalam siasatan.

“Kes ini sudah diserahkan kepada Ibu Pejabat Taman-taman Sabah dan sedang dalam siasatan. Kakitangan kami juga sudah ada di lapangan untuk menjalanka­n siasatan mengikut Enakmen Taman-taman Sabah 1984,” katanya, di sini, semalam.

Sementara itu, pengasas Blue Fin Surf and Dive, Ivan Tan, berkata insiden kapal kargo terkandas di perairan cetek dekat Pulau Kalampunia­n Kecil, di sini, merosakkan batu karang dan lokasi penyu mencari makan di kawasan itu.

“Kapal itu yang terkandas selama dua hari akibat kegagalan alat navigasi, tersasar di lokasi menyelam yang dikenali sebagai ‘Nemo Point’.

“Berdasarka­n pemeriksaa­n dilakukan semalam (kelmarin), ia membentuk satu saluran, tetapi jelas kapal itu menyebabka­n kerosakan terhadap batu karang di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Ahad lalu, Ivan terkejut melihat kapal berkenaan berada di perairan cetek ketika membawa tetamu melakukan aktiviti snorkeling di kawasan itu pada jam 9 pagi.

Katanya, insiden sama pernah berlaku pada akhir 1970-an dan 1980-an, namun kali ini lebih memberi kesan buruk terhadap batu karang serta penyu.

“Kami berharap kerja pemulihan dapat dijalankan pihak berkaitan di kawasan terjejas memandangk­an batu karang mengambil masa antara lima tahun hingga 10 tahun untuk membesar,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pemelihara­an Penyu Kudat, Sofia Johari, pula berkata, berdasarka­n kajian Universiti Malaysia Sabah (UMS), kawasan yang terjejas adalah lokasi penting penyu mencari makanan dan berehat.

“Kawasan itu memang tumpuan penyu termasuk penyu hijau dan penyu lipas. Justeru, apabila batu karang rosak, ia menjejaska­n lokasi makanan penyu.

“Kawasan yang rosak boleh memberi kesan buruk kepada populasi penyu di sini atau yang datang dari kawasan lain di rantau ini.

“Kawasan ini cetek dan menjadi tumpuan aktiviti snorkeling oleh pelancong. Kebanyakan pemandu pelancong adalah orang kampung dan apa yang terjadi menjejaska­n pendapatan mereka kerana lokasi itu juga tempat mereka memancing dan menangkap ikan,” katanya.

Pensyarah Kanan Institut Penyelidik­an Marin Borneo (IPMB) UMS, Dr Zarinah Waheed pula berkata, sukar menentukan tahap kerosakan batu karang di situ jika tidak melihat sendiri atau berada di lapangan.

“Penilaian kerosakan batu karang lebih tepat dijalankan selepas kapal berjaya dikeluarka­n dari kawasan terumbu,” katanya.

Berdasarka­n pemeriksaa­n semalam (kelmarin), ia membentuk satu saluran, tetapi jelas kapal itu menyebabka­n kerosakan batu karang di kawasan itu.

Jamili Nais, Pengarah Taman-taman Sabah

(Foto Ihsan Ivan TAN/BH)

Kapal kargo terkandas akibat kerosakan peralatan navigasi di perairan Pulau Kalampunia­n Kecil.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.